Thursday, 19 December 2013

Dua pemain bola sepak Pahang mengaku berkhalwat

                              
Kuantan: Dua pemain bola sepak Pahang dan pasangan mereka didenda masing-masing RM1,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah berkhalwat di sebuah hotel di bandar ini, kira-kira tiga bulan lalu.
Mohd Amirul Hadi Zainal, 27, Mohd Zaiza Zainal Abidin, 23, serta pasangan mereka, Zuraida Muhammad, 26, dan Puteri Natalya Nurul Adzween Rosly, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di depan Hakim Syarie, Abdul Wahid Md Ali.
Mereka didakwa berkhalwat bersama pasangan masing-masing di dalam dua bilik berasingan di Hotel Vistana, Jalan Teluk Sisek pada 10 September lalu, jam 4.30 pagi.
Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 145 (1) (2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syarie, Sallehuddin Abdul Manaf manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika Hakim Abdul Wahid menjatuhkan hukuman berkenaan, semua tertuduh hanya mempamerkan wajah selamba.
Terdahulu, Sallehuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum dikenakan terhadap mereka kerana enggan merayu atas hukuman kesalahan itu.
Selepas mengambil kira kesalahan itu adalah kali pertama dilakukan, Abdul Wahid menjatuhkan hukuman denda RM1,000 setiap seorang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog