Tuesday, 17 December 2013

Peluk cium isteri sebelum pergi selama-lamanya

Foto
Dungun: “Dia peluk dan cium saya serta anak berulang kali. Tak sangka pula itu isyarat dia akan meninggalkan kami semua,” kata Che Wan Zuriati Che Wan Hasan, 33, isteri kepada Baderi@Nazri Mohamad, 42, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 82.3, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Kampung Talang, Bukit Besi, semalam.
Allahyarham Baderi yang bertugas sebagai mandur ladang TDM Plantation di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) meninggal dunia selepas Perodua Viva dipandunya bertembung dengan Perodua Alza dipandu Ummi Fardhatu Akmal Mamat, 25, dari arah bertentangan jam 7 pagi.
Berikutan pertembungan kuat itu, mangsa tersepit sebelum dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat AMBS.
Bagaimanapun, mangsa yang parah di bahagian kepala dan patah kedua-dua belah kaki disahkan meninggal dunia di Hospital Dungun dua jam selepas diberi rawatan kecemasan.
Che Wan Zuriati yang bertugas sebagai kerani di Sekolah Menengah Padang Pulut berkata, suaminya bertolak dari rumah mereka di Kuarters Guru Sekolah Menengah Padang Pulut untuk ke tempat kerjanya jam 6.30 pagi.
“Sebelum bertolak, suami memanggil saya di dapur dan memeluk saya serta mencium saya beberapa kali sebelum masuk ke bilik tidur kedua-dua anak kami dan memeluk serta mencium mereka.
“Sebelum ini arwah jarang berbuat demikian sehingga membuatkan saya tertanya-tanya dan berasa pelik dengan kelakuannya itudan saya sama sekali tidak menyangka ia petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Bilik Kecemasan Hospital Dungun, semalam.
Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai kemalangan itu ketika bersiap untuk ke tempat kerja selepas menerima panggilan telefon daripada adik perempuan arwah yang tinggal di Marang.
“Ketika sampai di bilik kecemasan, arwah ketika itu sudah tidak bergerak lagi dan pegawai perubatan berusaha menyelamatkan arwah yang berlumuran darah di kepala.
Namun ketika itu saya sudah bersedia dan reda sekiranya dia meninggal dunia,” katanya.
Katanya, sejurus selepas itu dia dipanggil seorang pegawai perubatan dan memaklumkan suaminya gagal diselamatkan dan disahkan meninggal jam 9.30 pagi.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog