Monday, 6 April 2015

Misteri Tragedi Pembunuhan di Wynekoop Mansion

Pada tahun 1901, sebuah rumah agam dibina di kawasan barat Chicago, Amerika Syarikat. Ia dimiliki oleh keluarga Wynekoop dan ketika itu menjadi salah satu mercu tanda di kawasan tersebut kerana keluasan dan keindahannya.




Pada mulanya, rumah itu dibina sebagai tanda kasih sayang dalam keluarga Frank Wynekoop dan isterinya, Dr. Alice Wynekoop.

Mereka mengharapkan rumah itu mampu memberi perlindungan buat mereka sekeluarga. Namun, sebaliknya berlaku satu demi satu tragedi menimpa keluarga Wynekoop.

Kesedihan bermula dengan kematian anak perempuan mereka, Marie Louise Wynekoop di rumah tersebut.


Kemudian ia berlanjutan apabila adik Frank, Dr. Gilbert Wynekoop pula cuba membunuh isterinya di dalam rumah itu kerana tertekan akibat keretakan rumah tangga mereka. Gilbert kemudiannya menjadi gila dan dimasukkan ke rumah sakit jiwa.

Namun, kejadian yang menimpa Rheta Wynekoop pada tahun 1933 telah membuatkan rumah agam itu menjadi tumpuan segenap masyarakat ketika itu. Rheta merupakan menantu Frank dan Alice.


Rheta Wynekoop.


Dia berkahwin dengan anak Frank iaitu Earl Wynekoop. Sayangnya, perkahwinan mereka tidak bahagia kerana sikap Earl yang kaki perempuan dan jarang pulang ke rumah.

Rheta berbakat dalam bermain biola. Oleh itu, dia sering menghabiskan masanya di rumah agam tersebut dengan bermain biola bagi menghilangkan rasa sedihnya terhadap sikap Earl.

Tanggal 21 November 1933, kegemparan berlaku apabila Rheeta ditemui mati dalam keadaan meniarap di atas meja pembedahan milik Dr. Alice di bilik bawah tanah rumah agam tersebut. Terdapat kesan tembakan di bawah bahu kirinya.

Turut ditemui di sebelah Rheta ialah topeng yang mengandungi kloroform dan juga pistol yang dipercayai senjata yang digunakan dalam pembunuhan tersebut.

Apabila pihak polis menyoal Dr. Alice, dia kerap menukar kenyataannya sehingga mengelirukan siasatan.

Semua ahli keluarga Wynekoop termasuk seorang wanita yang menyewa sebuah bilik di rumah agam tersebut ditahan. Polis yang menyiasat bertambah keliru dengan kelakuan setiap orang daripada mereka kerana seolah-olah dipukau dan enggan membuka cerita. Malahan, mereka mencipta pelbagai versi cerita untuk menyelamatkan isteri Frank daripada tuduhan membunuh.

Dr. Alice sendiri mengeluarkan kenyataan kononnya ada perompak yang cuba mencuri ubat-ubatan di dalam bilik bawah tanah tersebut dan telah membunuh Rheta. Menurutnya lagi, kemungkinan Rheta terserempak dengan perompak itu sebelum dibunuh.


Earl Wynekoop.


Kenyataan itu bercanggah dengan apa yang diberitahu Dr. Alice kepada bapa Rheta bahawa anaknya mati akibat komplikasi penyakit tibi.

Sewaktu siasatan berlangsung, polis mendapati Earl telah mengeluarkan sejumlah wang daripada insurannya bersama Rheta. Earl kemudiannya menjadi suspek utama pembunuhan ini.

Itulah yang menjadi umpan untuk Dr. Alice membuka cerita apabila mendapat tahu anak kesayangannya menjadi suspek utama. Dr. Alice serta-merta menukar kesemua kenyataannya sebelum ini bagi melindungi Earl. Dia mengaku telah melepaskan tembakan kepada Rheta.

Pada hari kejadian, Dr. Alice telah melakukan pembedahan terhadap menantunya itu. Ada sumber mengatakan Dr. Alice mahu Rheta menggugurkan kandungannya namun tidak ada bukti kukuh mengenainya.

Malangnya, pembedahan itu tidak berjaya. Dr. Alice yang takut reputasinya tergugat, lantas mengambil tindakan untuk membunuh Rheta yang pada ketika itu sudah tidak bernyawa kerana diberikan dos ubat tidur berlebihan.

Apabila Earl mendapat tahu ibunya ditahan polis atas tuduhan membunuh isterinya, dia segera menyerah diri dan mengaku telah membunuh Rheta dan kemudiannya melarikan diri bersama kekasih hatinya.

Meskipun polis menerima dua pengakuan, tetapi bukti dan petunjuk yang ditemui lebih mengarah kepada Dr. Alice sebagai suspek utama.


Dr. Alice Wynekoop.


Turut ditemui beberapa pucuk surat cinta di antara Dr. Alice dan Earl yang menunjukkan mereka mempunyai hubungan songsang antara ibu dan anak.

Psikiatri ketika itu berpendapat kedua anak beranak itu mengalami Oedipus Complex iaitu satu fenomena di mana anak lelaki mempunyai keinginan seksual terhadap ibunya sendiri.

Pendakwaan dijalankan terhadap Dr. Alice dan enam bulan kemudian dia disabitkan bersalah dan dihukum penjara 25 tahun. Dia dibebaskan dengan parol pada tahun 1949 ketika berusia 79 tahun dan meninggal dunia dua tahun kemudian selepas dibebaskan.

Earl pula menghilangkan diri setelah ibunya disabitkan bersalah dalam kes pembunuhan isterinya. Kali terakhir Earl dilihat, dia dikatakan menjadi seorang mekanik dan hidup bersendirian selepas itu.

Kisah pelik ahli keluarga Wynekoop kian dilupakan setelah rumah agam yang mendapat jolokan 'Wynekoop Mansion' dirobohkan.

Namun, masih ada sesetengah pihak yang mendakwa sering terdengar bunyi gesekan biola Rheta di sebalik runtuhan lama rumah itu.

sumber:sentiasapanas.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog