Friday, 2 January 2015

QZ8501 Mungkin Berjaya Mendarat Di Atas Permukaan Air


SEKUMPULAN anggota polis membawa satu serpihan dipercayai gelonsor kecemasan boleh kembung milik pesawat QZ8501di Pelabuhan Kumai di Pangkalan Bun semalam. - Reuters



JAKARTA – Beberapa pakar penerbangan percaya juruterbang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang pada Ahad lalu berjaya membuat pendaratan cemas di atas air tetapi kapal terbang berkenaan tenggelam akibat dibadai ombak besar menyebabkan semua penumpang gagal menyelamatkan diri.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Surabaya menuju ke Singapura itu juga tidak mengeluarkan sebarang isyarat kecemasan yang biasanya diaktifkan apabila sesebuah kapal terbang terhempas atau tenggelam di dalam air.

Pakar percaya, itu menunjukkan Kapten Iriyanto yang mengendalikan pesawat tersebut berjaya membuat pendaratan selamat di atas air.

Editor kanan majalah penerbangan Angkasa, Dudi Sudibyo berkata, Iriyanto seorang juruterbang yang berpengalaman dan ada kemungkinan dia berjaya membuat pendaratan di atas permukaan laut.

“Pemancar Pengesan Kecemasan (ELT) akan diaktifkan jika ada impak yang kuat sama ada di darat, laut atau di lereng gunung.

“Saya percaya ELT tidak diaktifkan kerana tidak ada impak yang kuat semasa pendaratan dibuat.

“Bagaimanapun, semua ini dapat disahkan jika kotak hitam yang mengandungi data penerbangan dan rakaman suara kokpit dapat dijumpai,”
katanya.

Pesawat penerbangan QZ8501 yang membawa seramai 162 penumpang termasuk tujuh kru itu terputus hubungan ketika cuaca buruk kira-kira 40 minit selepas berlepas dari Surabaya.

Beberapa pakar penerbangan yang merujuk data radar percaya pesawat tersebut terhenti ketika penerbangan atau ketika mendaki untuk mengelak cuaca buruk.

Pesawat Airbus A320-200 dipercayai mengalami aerodynamic stall kerana terbang terlalu perlahan atau mendaki terlalu menegak.

Juruterbang tersebut juga dipercayai tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sebelum hilang dari pada radar.

Sehingga semalam, pasukan penyelamat sudah menemui sembilan mayat yang masih sempurna termasuk seorang yang memakai jaket keselamatan dan serpihan kapal seperti pintu pesawat serta gelongsor kecemasan.

Bekas komander tentera udara Indonesia, Chappy Hakim percaya pesawat itu tidak berkecai di udara atau mengalami kerosakan yang teruk ketika mendarat di permukaan laut.

“Jika pesawat ini berkecai di udara atau terhempas dengan kuat di laut, tidak mungkin mayat yang dijumpai masih dalam keadaan sempurna.

“Badan pasawat juga tidak berkecai selepas imej sonar berjaya mengesan satu objek besar di dasar Laut Jawa tidak jauh dari lokasi serpihan dan mayat dijumpai,”
ujarnya.

Bekas Menteri Pengangkutan Indonesia, Jusman Syafii Djamal pula yakin, penemuan pintu kecemasan dan gelongsor boleh kembung menunjukkan ada penumpang memulakan proses keluar dari pesawat sebaik ia mendarat di laut.

“Pintu kecemasan itu mungkin dibuka seseorang.

“Kemungkinan ketika penumpang sedang menunggu kru mengisi angin pada rakit keselamatan, satu ombak besar telah membadai muncung pesawat menyebabkan pesawat itu terus tenggelam,”
ujarnya.

Mengikut standard keselamatan penerbangan, semua penumpang perlu dikeluarkan daripada pesawat dalam tempoh 90 saat selepas sesebuah kapal terbang membuat pendaratan cemas.-Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog