Thursday, 1 January 2015

14 Lagi Individu Akan Dipanggil Berkaitan Penyebaran 10 Berita Palsu Banjir

KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memanggil 14 lagi individu untuk membantu siasatan berhubung penyebaran 10 berita palsu berkaitan banjir yang melanda beberapa negeri.
Pengerusinya Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata lapan individu tampil memberi keterangan sejak tiga hari lepas dan SKMM sedang berusaha untuk mengenal pasti lebih banyak individu yang boleh membantu siasatan.
“Setakat ini, kami mengenal pasti sebanyak 10 kes berita palsu yang tersebar dan individu yang terlibat telah diminta untuk datang memberi keterangan di pejabat SKMM kelmarin dan semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Antara berita palsu itu adalah ‘Sepuluh orang sekeluarga terperangkap dalam rumah mati lemas di Guchil, Kelantan yang dipetik sumber kononnya daripada sebuah stesen berita’, ‘Keruntuhan pusat pemindahan Sekolah Manek Urai’, ‘Kerajaan menyembunyikan fakta ramai orang mati lemas kerana banjir’, ‘Pintu empangan di Selatan Thailand dibuka dan menyebabkan banjir di Kelantan’, dan ‘Bantuan daripada NGO untuk mangsa banjir tak sampai’.
    
Turut dikenal pasti sebagai palsu adalah berita ‘Mayat kanak-kanak dikeluarkan daripada lumpur yang dikatakan mangsa banjir di Kelantan’, ‘Helikopter TUDM terpaksa disewa untuk keluar pesakit dari Hospital Kuala Krai’, ‘Seorang wanita terjun dari sekolah ke dalam air’, ‘Bantuan disekat oleh pihak berkuasa’, dan ‘Bantuan diterima oleh orang BN sahaja’.
Beliau berkata jumlah individu yang akan dipanggil selepas ini berkemungkinan akan bertambah kerana siasatan masih giat dijalankan SKMM.
“Jangan berkongsi berita dalam keadaan beremosi yang akan memburukkan keadaan, periksa dahulu kesahihan berita sebelum berkongsi dan memaparkannya dalam aplikasi pesanan dan media sosial,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog