Friday, 2 January 2015

Kerana Kacang, Seorang Bekas Eksekutif Korean Air Ditahan


Seoul: Bekas eksekutif Korean Air yang mengamuk kerana tidak puas hati dengan cara dia dihidangkan kacang makadamia semalam ditahan kerana meletakkan penerbangannya dalam bahaya ketika kejadian.

Cho Hyun-ah yang juga anak pengerusi syarikat penerbangan berkenaan dikritik hebat selepas kejadian 5 Disember itu yang menyebabkan pesawat dinaikinya terpaksa berpatah balik ke New York untuk menurunkan seorang pramugara kanan.

Dia dilaporkan marah kerana dihidangkan kacang dalam beg dan bukan di atas piring menyebabkan kejadian itu digelar ‘nut rage’ (radang kacang).

Pendakwa setakat ini belum mendakwa Cho, namun undang-undang Korea Selatan membolehkan suspek ditahan enam bulan untuk mengelaknya melarikan diri atau menghapuskan bahan bukti.

Pejabat Pendakwa Seoul Barat berkata, mahkamah daerah mengeluarkan waran tangkap terhadap Cho menyebabkan wanita itu diletakkan dalam tahanan malam kelmarin.

Menurutnya, eksekutif Korean Air dikenali sebagai Yeo turut ditahan kelmarin kerana didakwa mendesak pekerja penerbangan itu supaya mendiamkan perkara itu.

Katanya, mahkamah mengesahkan pelbagai usaha dilakukan untuk menutup perbuatan Cho itu sejak ia berlaku.

Sehubungan itu, Cho berdepan pelbagai tuduhan termasuk keganasan di dalam kapal terbang dan mengubah haluan perjalanan pesawat, kesalahan yang melanggar undang-undang penerbangan.

Cho, 40, meletak jawatan sebagai Naib Presiden Korean Air dan semua jawatan di syarikat bersekutu awal bulan ini.

Seorang penumpang pesawat berkenaan memberitahu media tempatan bahawa Cho menyerang dan mengugut anak kapal ketika kejadian.-Hmetro


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog