Thursday, 11 December 2014

Alvin Tan Cabar Pihak Berkuasa Malaysia Tahan Dia Sendiri Di AS


Blogger seks Alvin Tan yang kini berada di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dengan gaya biasanya yang angkuh terus mencabar pihak berkuasa Malaysia menahannya di bumi Amerika Syarikat.


Hari ini, Jabatan Imigresen dalam kenyataan media mengarahkan Alvin agar menyerahkan pasport antarabangsanya ke Pejabat Konsulat Malaysia terdekat di sana kerana pasport mereka sudah pun dibatalkan.

“Saya ada mencari lokasi pejabat Konsulat Malaysia di Los Angeles dan rupa-rupanya ia hanya memakan masa 10 minit memandu dari rumah saya.

“Kamu mahu tangkap saya? Arahkan pasukan pengkuatkuasa kamu dari konsulat mencari saya, cubalah tangkap saya di bumi asing, tengok apa akan berlaku,”
kata Alvin di laman Facebooknya.


Menurutnya, pasport antarabangsanya kini berada dalam simpanan Jabatan Penguatkuasaan Kastam dan Imigresen AS (ICE) dan dia menyuruh kerajaan Malaysia pergi mengambilnya sendiri jika mahu.

“Kalau kamu nak pasport saya, pergilah ambil, ia akan menarik lebih kuat perhatian AS ke atas kes saya dan akan menyebabkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO lebih malu di peringkat antarabangsa,” katanya.

Alvin berada di AS kerana melarikan diri daripada menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana memuatnaik kandungan yang menyentuh sensitiviti umat Islam berkaitan memakan babi di bulan Ramadhan.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang melarikan diri daripada dituduh di bawah akta sama, Ali Abd Jalil, mempertikaikan kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang mahukan dia supaya tidak pulang ke Malaysia lagi.

Ali yang ketika ini berada di Kiruna, Sweden dan sedang menunggu kelulusan permohonan suaka berkata, Khairy lahir di Kuwait dan hidup di luar negara selama 20 tahun serta sekarang memegang jawatan sebagai menteri baru berbelas tahun sahaja, berbanding dirinya yang duduk di Malaysia lebih lama.


“Khairy Jamaluddin dilahirkan di Kuwait, hidup di luar negara 20 tahun, dia balik Malaysia pegang jawatan besar, kaya raya dan sekarang berada di Malaysia baru berbelas tahun sahaja.


“Dia siapa nak suruh aku jangan balik Malaysia?”
soal Ali.

Ali bagaimanapun tidak memberikan sebarang reaksi berkenaan proses pemulangan pasport antarabangsanya yang perlu diserahkan kepada pejabat konsulat terdekat di Sweden.

mynewshub,my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog