Thursday, 14 August 2014

Pelajar tingkatan 5 dikecam like page 'I Love Israel' di Facebook

Nibong Tebal: Tindakan seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Simpang Ampat di sini, menekan butang 'like' kepada laman Facebook ‘I Love Israel’ bukan saja mencetuskan kontroversi di sekolah berkenaan, malah pelajar itu dikatakan takut untuk pergi ke sekolah selepas perbuatannya diketahui ramai.
Difahamkan, tindakannya itu mendatangkan rasa kurang puas hati dalam kalangan guru dan pelajar sekolahnya sehingga ada yang mengancam serta mengugut pelajar berkenaan. 
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis sudah memanggil pelajar berkenaan serta gurunya tengah hari semalam untuk diambil keterangan mengenai perkara berkenaan. 

"Kami sudah memanggil pelajar itu bersama gurunya tengah hari semalam selain akan memanggil beberapa individu lain dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 dan kami akan meneliti pelbagai sudut termasuk punca pelajar berkenaan berbuat demikian," katanya yang ditemui pada Majlis Hari Raya bersama Komuniti Seberang Perai Selatan (SPS) di Ibu Pejabat Polis Daerah SPS, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri Datuk A Thaiveegan dan Ketua Polis Daerah SPS Asisten Komisioner Shafien Mamat. 

Sementara itu, Shafien berkata, sehingga petang tadi pihaknya sudah memangil empat individu membabitkan tiga pelajar dan seorang guru untuk membantu siasatan kes berkenaan. 

Beliau berkata, guru dan pelajar berkenaan dipanggil untuk diambil keterangan tengah hari semalam manakala dua lagi rakannya dipanggil untuk proses sama, hari ini. 

"Siasatan dilakukan membabitkan dua aspek iaitu mengapa pelajar berkenaan bertindak menyokong laman web itu yang mencetuskan perbalahan dan dakwaan berhubung ancaman serta ugutan yang diterimanya," katanya. 

Beliau berkata, susulan itu, pelajar berkenaan bersama keluarganya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya selepas menerima kecaman serta ugutan. 

Katanya, akaun Facebook milik pelajar berkenaan sudah ditutup selepas kekecohan mengenai perkara itu berlaku.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog