ALOR SETAR - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi di sini kembali 'dirasuk' apabila lebih 20 pelajar perempuan sekolah itu tiba-tiba diserang histeria selepas seorang daripada mereka dikatakan ternampak kelibat bayang berwarna hitam.
Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku sebaik sahaja pelajar sesi pagi selesai membaca surah Yasin semasa perhimpunan sekolah.
Seorang pekerja di sekolah itu yang enggan dikenali berkata, serangan berlaku apabila seorang pelajar dengan tidak semena-mena tidak sedarkan diri ketika semua pelajar mahu masuk ke kelas masing-masing.
Bagaimanapun, selang beberapa ketika, keadaan menjadi kelam-kabut dan menakutkan apabila seorang demi seorang terjerit-jerit dan meronta-ronta seperti cacing kepanasan dipercayai disampuk makhluk halus.
"Keadaan begitu menyeramkan apabila daripada seorang pelajar, serangan histeria itu terus menjalar hampir 20 orang pelajar.
"Mangsa yang terkena terus dibawa ke surau sekolah sebelum cuba dipulihkan oleh beberapa guru agama dan ada antara pelajar dijemput oleh ibu bapa mereka sendiri," katanya ketika ditemui di luar pekarangan pagar sekolah di sini semalam.
Kosmo! difahamkan kejadian histeria itu merupakan kejadian kali keempat melibatkan ramai pelajar selain beberapa insiden kecil sepanjang tahun ini.-Kosmo
No comments:
Post a Comment