Wednesday, 25 June 2014

Erin Malek selamat bertunang dan sudah bersedia untuk menjadi isteri

TAKDIR Yang Maha Kuasa penentu segala-galanya. Perkenalan dua jiwa antara pelakon Erin Malek, 20, dengan ahli perniagaan, Farriz Fauzy, sejak awal Januari lalu berakhir dengan ikatan pertunangan pada 21 Jun lalu (Sabtu) di kediamannya, Duta Suria Residency, Ampang, Selangor.
Jam pantas memutarkan waktu. Empat bulan tempoh perkenalan, Farriz mengambil keputusan untuk melamar Erin kerana berasakan umurnya sudah mencecah 30 tahun dan dirinya juga sudah bersedia menjadi suami kepada pelakon filem Awak Nak Kahwin Dengan Saya itu.
"Kami kenal pada awal Januari lalu dan bersama (bercinta) pada penghujung bulan Januari. Selepas empat bulan bercinta saya cakap dekat dia umur saya sudah 30 tahun. Saya sudah bersedia untuk mempunyai keluarga sendiri. Saya tidak mahu berkahwin pada umur 35 atau 37 tahun. Nanti apabila bawa anak orang ingat datuk yang bawa anak. Saya tidak mahu jadi begitu.
"Jadi, saya tanya adakah dia serius dengan hubungan ini. Alhamdulillah, dia juga sudah bersedia menjadi isteri," ungkap Farriz yang bakal mengahwini Erin pada 10 Oktober ini.
Kematangan Erin berbanding usia sebenar juga membuatkan Farriz yakin wanita itu mampu memikul tanggungjawab sebagai isteri.
Farriz juga tidak mahu hubungan cinta yang lama terjalin membuatkan orang di sekeliling mengata.
"Saya terkejut dia sangat matang sedangkan usianya baru 20 tahun. Memang dia ada sifat kebudak-budakan tetapi dalam hubungan dia sangat memahami dan saya sangat selesa menjalin hubungan dengannya. Kenapa ambil masa cepat untuk berkahwin, sebab kami kerap berjumpa nanti orang mengata. Jadi, saya fikir patut percepatkan benda yang halal," jelasnya lagi.
Pantas mengukuh bicara, Erin mengakui, Farriz meyakinkan dirinya untuk menjadi seorang isteri.
"Mungkin ada yang cakap umur saya terlalu muda. Baru 20 tahun. Tetapi Farriz nampak yang saya sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri.
"Perbezaan umur sebanyak 10 tahun pula, bagi saya ia tiada masalah. Saya suka apabila Farriz faham dengan kerja saya," jelas Erin yang anggun dalam persalinan pereka fesyen terkenal Azura Couture berserta pelamin bertemakan Fairy Blossom.

Pada majlis pertunangan itu, pihak Farriz menyerahkan lima dulang hantaran yang berupa tepak sirih, sirih junjung, sepasang kain, kain telekung dan kek.
Sementara itu, pihak Erin pula membalas dengan tujuh dulang hantaran terdiri daripada jambangan sirih junjung, cincin, sepasang kain, set wangian, buah-buahan dan dua dulang manisan.
Majlis kemudiannya disusuli dengan adat menyarung cincin yang sempurnakan oleh ibu Farriz, Wan Nor Azmah.
Pasangan itu akan disatukan sebagai pasangan suami isteri pada 10 Oktober nanti. Majlis resepsi pihak Erin akan berlangsung pada keesokkan harinya, manakala majlis resepsi pihak lelaki akan diadakan pada 18 Oktober nanti.
Majlis yang dihadiri kira-kira 150 orang itu juga dihadiri rakan-rakan artis seperti Fasha Sandha, Arja Lee, Zulin Aziz, Sherry Alhadad dan Shima Anuar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog