Monday 26 January 2015

Pelajar Baru Masuk Belajar Dilanggar Bas Selepas Balik Dari Beli Makanan

Gambar arwah, Nurkhairunnisa Hamzah dari laman Facebooknya

Seorang pelajar perempuan yang baru seminggu melanjutkan pelajaran di Kolej Poly-Tecg MARA-KESEDAR di Gua Musang, Kelantan menemui ajal apabila dirempuh sebuah bas persiaran ketika berjalan kaki pulang ke asramanya, petang kelmarin.




Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata siasatan awal pihak polis mendapati ketika tiba di perhentian bas untuk menurunkan penumpang, pemandu bas itu Mohd Rashid Yaacob, 53, tiba-tiba pengsan menyebabkan bas hilang kawalan.

Ia kemudian bergerak sendiri ke hadapan lalu melanggar pelajar itu Nurkhairunnisa Hamzah, 20, yang pulang bersama empat lagi rakan.

Nurkhairunnisa kemudian tercampak berhampiran longkang di perhentian bas berkenaan dan maut di tempat kejadian kerana kecederaan teruk di kepala.

Nurkhairunnisa merupakan pelajar jurusan Pengurusan Sumber Manusia di kolej berkenaan.

Dua rakan Allahyarham, Nor Aina Sofea Mohd. Salleh, 20, cedera parah di bahagian paha serta pendarahan di kepala dan Norhasili Shafikah Hasbullah, 20, mengalami kecederaan di tengkuk.

Manakala dua lagi rakannya Siti Nurfalinda Mohd. Asri, 18, dan Nur Asila Atiqah Shaharuddin, 18, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Saiful Bahri memaklumkan jenazah Nurkhairunnisa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk dibedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya pagi tadi untuk dikebumikan di Rawang.

“Pemandu bas yang dilaporkan sakit perut sebelum pengsan kini sedang dirawat di HGM,” katanya.

Ajal Nurkhairunnisa terjadi ketika mereka baru sahaja membeli makanan di sebuah tapak ekspo bersebelahan perhentian bas berkenaan.

Bas berkenaan turut melanggar sebuah kenderaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diparkir berhampiran.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog