Thursday, 26 December 2013

Ibu anjing susukan anak harimau

                               

HANGZHOU - Seekor anjing betina bernama Xiao Wang yang memiliki tiga ekor anak 
 menjadi ibu tumpang kepada dua ekor anak harimau Siberia yang dibuang oleh ibunya, kata seorang penjaga sebuah zoo di China.


Kejadian itu berlaku di Zoo Hangzhou di sini, dalam wilayah Zhejiang di timur China.
Ibu anjing itu dibawa dari sebuah kampung berdekatan bersama tiga ekor anaknya untuk menjadi ibu tumpang kepada dua ekor anak harimau itu yang lahir pada 10 November lalu.
Anak harimau dan anjing itu terpaksa bersaing setiap kali haiwan berbeza spesies itu hendak menyusu.
Kejadian anjing menjadi ibu tumpang bukan pertama kali berlaku di Zoo Hangzhou. Pada tahun 2010, seekor anak harimau bernama Lucky diperkenalkan kepada seekor ibu anjing selepas haiwan tersebut tidak diterima oleh ibunya.
Perkara serupa pernah berlaku terhadap haiwan lain secara semula jadi.
Pada tahun 2005, seekor anak tupai di Seattle, Amerika Syarikat (AS) telah disusukan oleh seekor anjing jenis papillon yang bunting bernama Mademoiselle Giselle.
Harimau Siberia merupakan spesies kucing yang terbesar di dunia dan banyak terdapat di timur Rusia.
Spesies berkenaan juga boleh ditemui di China dan Korea Utara.
Namun, populasi haiwan itu kini diancam kepupusan apabila dianggarkan hanya 400 sehingga 500 ekor harimau Siberia sahaja yang masih boleh ditemui di habitat asalnya. - Agensi

Johan, Lana putus

                                  
WALAUPUN tidak sampai sebulan percintaan pasangan pelakon yang penuh dengan kontroversi Johan Asari dan Lana Nordin menghangatkan industri hiburan tanah air, namun hubungan itu dikhabarkan telah putus di tengah jalan.

Memetik laporan portal berita hari ini, Johan menyatakan hubungannya dengan pelakon itu telah putus secara rasmi sejak, kelmarin.

"Saya sebenarnya berat mahu melepaskan Lana. Tapi saya tidak mahu menyeksanya. Lebih baik, kami berpisah daripada terus menyeksa hati dan perasaan Lana," katanya.

Dalam pada itu, pelakon sekuel filem Juvana itu turut menyatakan beliau masih menyayangi Lana, namun terpaksa memilih keluarga ekoran tidak mahu dianggap sebagai anak derhaka.

"Saya minta maaf. Keputusan ini tentu melukakan hati Lana dan keluarga. Tetapi saya terpaksa buat keputusan kerana tidak ada harapan kepada Lana," ujarnya.

Sebelum ini, desas-desus keluarga Johan tidak merestui hubungan percintaannya dengan aktres seksi itu telah tersebar di media sosial.

Lana Nordin nampaknya tenang dengan keputusan Johan As’ari yang memutuskan hubungan mereka.
 
Lana dapat mengagak apa yang akan berlaku selepas Johan sering berdolak-dalik sejak hubungan mereka ditentang keluarga.

Menurutnya, nasib baik hubungan percintaannya dengan Johan putus selepas sebulan, jadi impaknya tidak hebat sangat.

“Saya tak kecewa, tapi terkejut dengan keputusan Johan. Hubungan kami sebenarnya baru bermula. Kami juga masih dalam proses mengenali hati budi, saya anggap keputusan Johan mahu memutuskan hubungan sebagai kelakar.


“…dia melamar saya selepas 3 hari bertemu, bukan saya memaksa dia melamar saya. Saya bukan bodoh, tiga hari bertemu terus dilamar sebagai isteri, boleh percayakah?

“…saya beri Johan ruang untuk membuktikan janji dan ungkapan manisnya, tapi nampaknya baru sebulan lebih Johan sudah mengaku kalah,” katanya.

Sementara itu, di akaun twitter Johan, peminatnya mula memberi kata-kata semangat kepada aktor tampan tersebut.

Bayi maut terjatuh dari tingkat 4

                                      Bayi maut terjatuh tingkat empat
KUANTAN - Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut akibat terjatuh dari tingkat empat blok perumahan polis Bukit Pelindung di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, bayi malang terbabit, Muhammad Danial Mikhail Mohd Abdul Hadi dikatakan melonjakkan badan dan terlepas dari dukungan bapanya sebelum terjatuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan  bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Menurutnya, bapa mangsa dikatakan mendukung bayinya sambil membimbit bungkusan sampah untuk dibuang.

“Mangsa difahamkan cucu kepada seorang anggota polis yang menetap di kuarters itu,” katanya.

Anak dipukul, dibaling dan dicampak

                                    
Kuala Lumpur: “Saya terpaksa mengambil Natasyah dan lima lagi anak dari sebuah rumah kebajikan di Kuantan, Ogos lalu, selepas mendapat tahu daripada anak sulung Natasyah sering dipukul, dibaling dan dicampak pekerja di pusat kebajikan terbabit.
“Malah, ketika bercuti di Teluk Kemang, Port Dickson, Oktober lalu, tiba-tiba anak saya diserang sawan menyebabkan dia dimasukkan ke hospital dan ketika itu saya mendapat tahu dia mengalami pendarahan dalam otak,” kata Zuraidah Jasman, 31, ibu seorang kanak-kanak perempuan, Nurain Natasyah Abdullah, 4, yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai akibat didera, kelmarin.
Menurutnya, sejak kejadian itu, anaknya kembali beransur sembuh, namun Sabtu lalu, dia mendakwa mangsa sekali lagi terkena sawan sehingga kaki dan tangan kejang menyebabkan dia terpaksa mengurut anaknya kira-kira 10 minit sebelum mangsa kembali stabil.

“Anak saya kemudian meminta air sebelum dia tidur. Bagaimanapun, ketika saya mengejutnya jam 9 malam untuk makan, Natasyah tidak sedarkan diri walaupun saya memanggil namanya berulang-kali
“Saya terpaksa menggoncang dan menampar serta mencubitnya supaya dia kembali sedar, namun tidak berhasil menyebabkan saya panik dan terus menghantarnya ke Hospital Kuala Lumpur seorang diri kerana ketika itu suami tiada di rumah,” katanya di pekarangan Masjid Sungai Besi, di sini, selepas solat jenazah anaknya itu.

Zuraidah berkata, mangsa anak bongsu daripada enam beradik di mana yang sulung berusia 11 tahun dan anak hasil perkongsiannya dengan bekas suami sebelum mereka bercerai.

“Saya hidup susah dan terpaksa menyerahkan anak kepada pusat kebajikan terbabit selepas dibuang ahli keluarga sendiri yang enggan menerima saya,” katanya

Perompak paling bodoh

                               
Dubai: Seorang lelaki mabuk masuk ke sebuah kedai runcit di Dubai petang semalam, menumbuk tuan kedai sebelum melarikan wang berjumlah 1,800 dirham (RM1,600) dan kad prabayar telefon bimbit bernilai 2,000 dirham (RM1,800).
Sejam kemudian, dia kembali ke kedai sama, mengancam seorang pekerja dengan pisau sebelum ditangkap polis yang tiba untuk menyiasat rompakan pertama.
“Ini rompakan paling bodoh tahun ini.
Perompak itu merompak kedai yang sama, seolah-olah mahu menyerah diri kepada polis,” lapor akhbar Alkhaleej.
Menurut akhbar itu, perompak yang namanya tidak disiarkan itu kembali ke kedai yang dirompaknya sejam kemudian selepas mengetahui tuan kedai membuat laporan polis.
Polis datang untuk menyiasat kes pertama menemui perompak itu di kedai berkenaan.

Harimau Malaya mati dibaham pasangan

                            
San Diego: Seekor harimau betina dibaham hingga mati oleh pasangannya ketika percubaan untuk membiakkan spesies jarang ditemui itu di Zoo San Diego.
Harimau Malaya berusia empat tahun benama Tiga Tahun itu mati akibat kecederaan di leher dan kesukaran bernafas selepas kejadian Sabtu lalu. 
Ia usaha pembiakan pertama membabitkan kedua-dua haiwan itu dan Tiga Tahun ialah satu-satunya harimau Malaya betina yang terdapat di situ. 

“Interaksi pertama kedua-dua haiwan itu begitu positif.

“Kedua-duanya berlaga hidung ketika dipisahkan oleh kawat penghadang.

“Interaksi itu menyebabkan penjaga zoo percaya masanya sudah tiba untuk mereka mengawan. 

“Malangnya, keadaan berubah serta-merta apabila kedua-duanya diletakkan dalam satu kandang. 

“Penjaga zoo tidak dapat menyelamatkan Tiga Tahun apabila dibaham oleh harimau jantan itu,” menurut kenyataan zoo itu.

Doktor bagi 'autograf' kepada pesakit

                                    
Seorang pakar bedah di sebuah hospital di Birmingham, London digantung kerja selepas dakwaan mengatakan dia menurunkan tandatangannya di hati seorang pesakit.
Dipercayai tanda tangan itu ditemui rakan sekerjanya ketika pembedahan rutin terhadap pesakit terbabit di Hospital Ratu Elizabeth. 
Pihak berkuasa kini bimbang kemungkinan beratus-ratus pesakit yang menjalani pembedahan transplan lain membabitkan pakar bedah itu berdepan nasib sama. seperti pesakit itu. 

Dakwaan itu mengatakan pakar bedah berpengalaman berkenaan menggunakan pancaran gas argon - bagi menutup pembuluh - untuk membuat tanda tangan itu.
Pakar berkata, ia akan meninggalkan kesan terbakar di permukaan hati, tetapi tidak berbahaya.
Joyce Robins dari pertubuhan Patient Concern berkata: “Kami bercakap mengenai pesakit bukan buku autograf.”- AP

Nenek lahirkan kembar

                                              
Beijing: Seorang wanita China melahirkan anak perempuan kembar pada usia 60 tahun melalui rawatan IVF selepas satu-satu anaknya meninggal dunia.
Kes yang luar biasa itu menyebabkan dia menjadi individu tertua yang melahirkan anak di negara itu, lapor media kerajaan semalam. 
Sheng Hailin, 63, kehilangan satu-satunya anak perempuan yang berusia lewat 20-an akibat kejadian keracunan gas pada 2009, lapor China Daily. Untuk menghilangkan kesunyian, dia bertekad untuk mendapatkan anak lagi.
Sebuah hospital tentera di Hefei, timur China bersetuju untuk memberikan Sheng dan suaminya terapi IVF.
Dia melahirkan Zhizhi, 1.85 kilogram dan Huihui, 1.45 kilogram di hospital berkenaan.

Wanita tertua yang melahirkan anak menurut Buku Rekod Guiness ialah Maria del Carmen Bousada Lara dari Sepanyol yang mempunyai anak lelaki kembar melalui pembedahan Caesarean pada 2006. 

Maria berusia 66 tahun dan 358 hari ketika itu. Dia meninggal akibat kanser tiga tahun kemudian. 

Sheng terpaksa membayar 10,000 yuan (RM5,424) sebulan untuk dua penjaga kerana tidak lagi larat untuk menjaga anaknya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog