Wednesday 25 December 2013

'Dia seperti dirasuk syaitan'

                                
Bachok: “Selepas menikam paha kiri mangsa bertubi-tubi, dia seperti dirasuk syaitan sehingga mahu menyembelih mangsa.
“Mujur kami sempat menghalangnya,” kata Raja Nor Hisyam Raja Yusof, 31, seorang daripada empat pemuda yang sempat menyelamatkan seorang lelaki ditikam menggunakan pisau rambo di Kampung Perupok, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa, Mohd Hafidz Amir Martaza, 26, yang baru beberapa langkah beredar dari gerai burger rakannya di hadapan Masjid Perupok selepas bermain gitar, didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal sebelum penunggangnya berusia 30-an bertikam lidah dengan mangsa dan bertumbuk kira-kira dua minit.

Lelaki itu mengeluarkan pisau Rambo dan menikam paha kiri mangsa lebih lima kali dan mahu mengelar leher mangsa, namun dihalang empat pemuda termasuk Raja Nor Hisyam yang juga pemilik gerai burger terbabit.
Selepas dihalang, suspek melarikan diri bersama rakannya yang membonceng motosikal terbabit.

Mangsa yang cedera parah di paha kiri dan turut cedera di tapak tangan kiri dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Menurut Raja Nor Hisyam, mangsa yang bekerja kampung sering melepak di gerai burgernya itu untuk bermain gitar dan menyanyi bersama rakan.

“Ini kali pertama saya melihat pergaduhan mengerikan di depan mata.

Rakan Raja Nor Hisyam, Mohd Bahari Abdul Rahim, 17, berkata, pada mulanya dia takut untuk membantu apabila melihat lelaki itu seperti hilang pertimbangan, namun memberanikan diri membantu bersama tiga lagi rakannya apabila mangsa menjerit meminta tolong.

“Nasib baik kami sempat menghalang mangsa daripada disembelih. Jika tidak keadaan pasti lebih buruk” katanya.

Ibu Mohd Hafidz, Siti Delima Ismail, 51, berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anaknya pernah menceritakan dia dan seorang lagi rakannya menerima ugutan bunuh daripada suspek sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Tawang, di sini.

“Selepas dimaklumkan anak diugut bunuh, saya berasa tidak sedap hati, malah kurang selera makan dan apa yang saya takuti benar-benar berlaku apabila dia nyaris maut ditikam lelaki yang mengugutnya,” katanya yang memaklumkan tidak tahu punca anaknya diugut bunuh.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun mangsa atau keluarganya belum membuat laporan polis.

Bagaimanapun, katanya pihaknya akan membuat laporan bagi membolehkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog