Wednesday 21 January 2015

Penangguhan PLKN Dapat Reaksi Yang Pelbagai


Langkah kerajaan untuk menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mendapat reaksi bercampur-campur daripada ahli politik.


Ketika banyak pihak menyokong kenyataan Najib yang juga Menteri Kewangan untuk menangguhkan program berkenaan, ada pihak yang membuat cadangan ia dimansuhkan terus.

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, PLKN wajar dimansuhkan terus kerana tidak mengikut rancangan awal dan tidak berbaloi.

“@HishammuddinH2O saya cadang mansuh PLKN. Tak ikut perancangan asal dan tak berbaloi,” katanya menerusi laman Twitternya hari ini.


Najib mengumumkan langkah menangguhkan program berkenaan sebagai langkah menghadapi situasi ekonomi yang kini sedang perlahan ekoran kejatuhan harga minyak mentah dunia pada masa ini. Perkara itu diumumkan dalam perutusan khas Najib berkenaan keadaan ekonomi semasa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Bagi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, beliau menyambut baik penangguhan itu kerana menurut Najib ia adalah untuk kajian semula dijalankan bagi menambahbaik pelaksanaannya pada masa akan datang.

“PLKN 2.0 memberi penekanan kepada kemahiran untuk belia yang tidak mengikut laluan ke universiti. Mereka akan diberi latihan khusus,” kata Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Bagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, kerajaan perlu mencari sistem baru untuk menggantikan PLKN dengan program yang lebih berkesan serta menjimatkan.

“Banyak lagi program yang boleh dilaksanakan bagi menggantikan PLKN, tempoh penangguhan ini merupakan ruang yang amat sesuai untuk kerajaan mengenal pasti program atau kaedah baru,” katanya dipetik media rasmi PAS, Harakah Daily.

Menurut beliau, gesaan untuk menangguhkan pelaksanaan PLKN sudah lama dibangkitkan parti berkenaan kerana PLKN didakwa ‘tidak memberi apa-apa kebaikan kepada kerajaan’ dan merupakan beban kepada kerajaan kerana kos yang tinggi.

Bagi Exco Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, beliau turut senada dengan Saifuddin yang mahu PLKN dimansuhkan terus.

“PM, tak perlu tangguhkan #PLKN. Mansuhkan terus. Banyak lagi ruang yang lebih berfaedah untuk wang tersebut”.

Dalam perutusan Najib, beliau berkata penangguhan PLKN dapat menjimatkan kira-kira RM400 juta. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog