Monday 19 January 2015

Charlie Hebdo Cetus Kemarahan Global Serata Dunia




ISLAMABAD 17 Jan. - Provokasi akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo yang menerbitkan edisi khas empat muka surat memaparkan karikatur Nabi Muhammad SAW minggu ini, mendapat bantahan umat Islam di 10 buah negara semalam sehingga menyaksikan empat kematian di Niger.

Selain Niger, ribuan penduduk Islam di Pakistan, Senegal, Mauritinia, Jordan, Algeria, Palestin, Sudan, Lebanon, Rusia dan Syria bangkit membantah penerbitan edisi itu yang jelas menghina Islam.

Bantahan terburuk berlaku di Niger selepas empat orang terbunuh, manakala 45 lagi cedera dalam tunjuk perasaan di bandar Zinder yang bertukar ganas apabila penunjuk perasaan menyerbu tiga buah gereja dan membakar pusat kebudayaan Perancis.

Seorang doktor di sebuah hospital di Zinder berkata, kesemua mangsa yang terbunuh dan tiga yang cedera mempunyai kesan tembakan pada badan mereka.

Dalam perkembangan sama di Karachi, Pakistan, tiga orang cedera termasuk seorang jurugambar AFP, Asif Hassan akibat terkena tembakan semasa satu pertempuran dengan polis di luar Konsulat Perancis.

Demonstrasi turut berlaku di bandar-bandar utama lain Pakistan antaranya di Lahore, Quetta, dan Peshawar.
Tunjuk perasaan sama turut diadakan di Dakar, Senegal, dan Mauritania yang menyaksikan penunjuk perasaan membakar bendera Perancis.

Selain itu, ribuan umat Islam di Mali membanjiri jalan-jalan utama di Bamako sebagai menyambut seruan pemimpin utama Islam negara itu dengan laungan slogan ‘Jangan usik nabi kami’ dan ‘Saya seorang Islam dan saya sayangkan nabi saya’.

Di Amman, Jordan, kira-kira 2,500 penunjuk perasaan berarak dari Masjid Al-Husseini diiringi kawalan ketat pihak keselamatan sambil memegang sepanduk yang tertera mesej, ‘Menghina nabi ialah satu keganasan global’.

Pertempuran juga dilaporkan berlaku antara penunjuk perasaan dan polis antirusuhan di Algiers, Algeria dengan kira-kira 3,000 penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Kami semua ialah Muhammad’.
Qatar dan Bahrain pula memberi amaran, karikatur baharu Nabi Muhammad SAW itu yang diterbitkan Rabu lalu oleh majalah tersebut boleh menyemarakkan api kebencian.

Karikatur terbaharu terbitan Charlie Hebdo itu memaparkan imej Nabi Muhammad SAW pada muka hadapan majalah berkenaan yang memegang tanda Je Suis Charlie (Saya Charlie) di bawah tajuk All is Forgiven (Semua dimaafkan).

Pihak penerbit majalah, MLP berkata, sebanyak 1.9 juta salinan edisi tersebut telah terjual setakat ini dengan keseluruhan lima juta salinan akan dicetak berbanding jualan kebiasaan majalah itu sekitar 60,000 naskhah dalam masa seminggu. – AFP

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog