Thursday 22 January 2015

CHARLIE HEBDO: Paris Nafi Wujud Zon Khas Untuk Muslim



PARIS – Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo menafikan pernah mengeluarkan kenyataan kononnya pihak berkuasa bandar raya ibu kota Perancis itu akan mewujudkan zon khas untuk Muslim yang tidak boleh dimasuki oleh penganut agama lain.


Beliau yang kesal dengan laporan palsu Fox News bahawa beliau mahu melaksanakan zon eksklusif Islam tersebut seterusnya berhasrat menyaman stesen televisyen berita Amerika Syarikat (AS) itu kerana cuba memfitnah ke atas dirinya.

“Imej Paris telah rosak dan kehormatan Paris selama ini juga tercalar,” kata Anne ketika ditemuramah sebuah lagi stesen televisyen terkenal AS, Cable News Network (CNN)menerusi program bual bicara Christiane Amanpour pada Selasa.

Pada 11 Januari lalu, pakar hal ehwal teroris Islam terkenal, Steve Emerson dari organisasi penyelidikan pengganas antarabangsa IPT yang berpusat di AS mendakwa Paris dan Birmingham di Britain ada menyediakan zon untuk umat Muslim sahaja.

Ketika diwawancara hos Fox News, Jeanine Pirro, Emerson yang pernah menjadi penasihat isu keselamatan kepada FBI, CIA dan banyak lagi agensi waima White House, berkata, zon khas tersebut hanya didiami komuniti penganut Islam konservatif.


Sekumpulan pendakwah dan imam muda yang dilatih di bawah projek khas kerajaan Perancis di sebuah universiti awam di Paris bagi melahirkan golongan ulama berwibawa dalam komuniti Muslim di Perancis. – Gambar hiasan

“Kerajaan negara itu langsung tiada hak kedaulatan di zon ini yang memiliki sistem mahkamah syariah sendiri sehingga orang bukan Islam, malah anggota polis bukan Muslim pun dilarang daripada memasuki kawasan istimewa ini,” jelas Emerson.

Isu panas itu timbul susulan serangan pengganas Islam terhadap pejabat majalah satira biadap Charlie Hebdo d Paris pada 7 Januari lalu diikuti serangan kedua di pinggir ibu kota Perancis pada hari berikutnya yang menyebabkan puluhan orang awam maut.

Kebanjiran jutaan penganut Islam di Perancis dan Britain selain banyak negara Eropah sehingga menjadi agama kedua terbesar di benua itu didakwa menyebabkan berlaku fahaman pelampau serta menjana aktiviti keganasan bersenjata.

Kerajaan Britain turut menafikan dakwaan Fox News dan sebaliknya menjelaskan, pihak berkuasa sentiasa memantau rapi isu sensitiviti keagamaan di negara itu serta memastikan masyarakat Islam bebas hidup harmoni dengan penganut agama lain.

Jeanine dan Emerson pada Ahad lalu mengumumkan permohonan maaf secara terbuka selepas koresponden CNN di Paris dan London yang membuat siasatan tinjauan penduduk tempatan mendapati langsung tidak wujud zon sedemikian. – Agensi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog