Monday 18 August 2014

Maut ketika tertidur

Foto
Juru: Akibat tertidur di dalam kenderaan pacuan empat roda, dua lelaki maut selepas mereka lemas kerana menghidu gas karbon monoksida di sebuah stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) Juru menghala ke Selatan, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.30 malam, Rizuan Ismail, 35, dan Ong Cheng See, 39, ditemui tidak bernyawa dalam keadaan tersandar di kerusi pacuan empat roda jenis Ford Escape terbabit oleh orang awam yang berhenti mengisi minyak.
Orang awam yang curiga kemudian memberitahu pekerja stesen minyak sebelum mereka menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.
Ong ditemui di tempat duduk pemandu dengan mukanya ditutup jaket, manakala Rizuan berada di tempat duduk penumpang dan kedua-duanya kaku, dipercayai terhidu gas yang terhasil daripada penyaman udara kenderaan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan.
“Bagaimanapun, kita akan siasat kes ini secara terperinci, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.
Mayat Rizuan yang berasal dari Kedah dan Ong dari Melaka dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. Usaha menemubual keluarga dan isteri Rizuan tidak berhasil kerana masih bersedih dengan kejadian.- Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog