Thursday 21 August 2014

Pesawat terpaksa tangguh pendaratan kerana pegawal trafik udara tertidur

BEIJING - Sebuah pesawat China terpaksa menangguhkan pendaratannya selepas dua pengawal trafik udara dikatakan tertidur semasa bertugas.
Pesawat Boeing 737 milik China Eastern Airlines itu bersedia untuk mendarat di lapangan terbang Wuhan, di tengah China, bagaimanapun juruterbang gagal mendapat sebarang maklum balas daripada menara kawalan trafik udara selama 12 minit.
"Berikutan pengawal udara trafik tertidur ketika bertugas, juruterbang pesawat itu terpaksa beberapa kali menghubungi menara berkenaan.
"Semasa dihubungi, tiada sebarang jawapan oleh menara kawalan," kata seorang pegawai penerbangan awam dalam satu kenyataan yang dipetik daripada majalah perniagaan Caijing.
Pesawat MU2528 dari Sanya, selatan China itu bagaimanapun berjaya mendarat dengan selamat, lapor portal berita Sina.com.
Laporan siasatan berasingan yang disebut oleh Caijing berkata, dua pengawal udara ketika itu telah tertidur.
Kejadian tersebut berlaku pada 8 Julai lalu, manakala kenyataan media dikeluarkan pada 29 Julai.
Kejadian itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan orang ramai dalam internet.
"Kerja-kerja pengawalan udara sememangnya memenatkan, namun ia tidak boleh dimaafkan kerana tertidur ketika bertugas.
"Beratus-ratus nyawa penumpang bergantung kepada tindakan menara kawalan penerbangan. Kami menyerahkan nyawa kami kepada anda," kata seorang pengguna laman sosial, Sina Weibo. - AFP

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog