Mungkin sesetengah individu terutama yang menjaga bentuk badan mengimpikan rasa kenyang agar keinginan menjamah makanan dapat dikurangkan, tetapi bagaimana pula kalau ia berkekalan?
Kejadian ini berlaku terhadap Landon Jones yang berusia 12 tahun. Semenjak 14 Oktober tahun lalu, Landon telah kehilangan rasa lapar mahupun dahaga.
Mengimbas kembali kejadian, malam sebelumnya, Landon menikmati hidangan pizza dan ais krim sebelum tidur. Keesokkan harinya, dia terus tiada keinginan untuk menikmati makanan lagi sehingga ke hari ini.
Akibatnya, dia yang dulu merupakan seorang kanak-kanak aktif, kini menjadi pasif dan tidak energetik.
Setahun telah berlalu, kedua ibu bapanya masih keliru dan tertanya-tanya apa yang terjadi kepada anak lelaki mereka.
“Landon selalu tersenyum dan sangat bertenaga, selalu meminta untuk menunggang basikal dan ingin ke taman permainan,” kata bapanya.
“Namun pada 14 Oktober tahun lalu, apabila dia terjaga dari tidur, semuanya berubah sekelip mata. Dia kehilangan rasa lapar dan dahaga.”
Pakar kanak-kanak yang ditemui memberinya antibiotik, namun ia tidak memberi kesan langsung. Dia juga dibawa menemui pakar dari daerah lain, antaranya Cedar Rapids, Des Moines, Madison malahan klinik terkenal di Minnesota iaitu Klinik Mayo.
Menurut pakar saraf kanak-kanak di situ, Dr Marc Petterson, kes yang menimpa Landon mungkin pertama seumpamanya di dunia.
Namun, ada yang berpendapat, Landon mungkin menghadapi kegagalan hypothalamus, bahagian di otak yang berfungsi untuk memaklumkan rasa lapar dahaga, haba badan, tekanan darah dan kitaran tidur.
“Mereka boleh melakukan ujian darah malah segala jenis ujian terhadap seluruh bahagian di tubuh badan, dan ia akan sembuh seperti sediakala. Namun, mereka tidak boleh melakukan ujian terhadap hypothalamus,” ujar bapa Landon.
Namun, ujar bapanya, penyakit yang menimpa anaknya kini mungkin disebabkan oleh rawatan sawan yang dibuat tiga tahun lalu.
Untuk merawat penyakit tersebut, Landon diberi dos dadah jenis ‘Depakote’ selama setahun. Kini, doktor-doktor sedang membuat kajian tentang kemungkinan tersebut walaupun dadah jenis itu sebenarnya meningkatkan keinginan untuk makan.
Akibat kehilangan rasa lapar, susuk tubuh Landon semakin susut dan dia mudah berasa letih. Selain itu, dia juga lebih memilih untuk baring dan tidur daripada aktif seperti dahulu.
No comments:
Post a Comment