Tuesday, 8 July 2014

Tidak tunggu sahur petanda ajal isteri

Kepala Batas: “Biasanya isteri akan tunggu kami bersahur, namun pagi tadi (semalam) selepas hidangkan juadah, dia terus masuk ke bilik,” kata Anuar Sudin, 35, suami kepada Zarina Husin, 42, yang maut dalam kemalangan di Ekor Kucing, Pinang Tunggal, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Zarina, 42, dan ibunya, Mariam Ismail, 60, maut selepas motosikal ditunggang mereka dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.
Menurut Anuar, ketika itu isteri, ibu mentua serta seorang anaknya, Nurul Ain Anuar, 6, dalam perjalanan menziarahi adik bongsu Zarina di Padang Lalang, Kedah.
Anuar berkata, selepas bersahur, dia terdengar perbualan dua beranak itu yang mahu ke Padang Serai kerana Mariam mendakwa dia terlalu rindukan cucunya.
“Mereka keluar dari rumah di Kampung Setol dengan menaiki motosikal dan membawa anak bongsu kami pada jam 8 pagi,” katanya yang reda dengan pemergian isteri dan ibu mentuanya.
Menurutnya, anaknya, Nurul Ain tercampak ke dalam belukar berhampiran, namun hanya mengalami kecederaan ringan.
“Saya dimaklumkan anak bongsu saya tercampak ke dalam belukar berhampiran sebelum ditemui orang awam yang terdengar dia menangis.
“Nurul Ain kini masih dalam keadaan trauma dan tidak mengetahui ibu serta neneknya meninggal dunia dalam kemalangan itu,” katanya yang ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Kepala Batas (HKB), di sini, semalam.
Menurut Anuar, dia diberitahu mengenai kemalangan yang menimpa isteri dan ibu mentuanya kira-kira jam 9 pagi oleh ibu saudaranya.
“Walaupun sedih mengenangkan keadaan empat anak berusia antara enam dan 14 tahun yang bakal menyambut Aidilfitri tanpa ibu mereka, namun saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim mengesahkan menerima laporan nahas itu.
Menurutnya, motosikal yang ditunggang tiga beranak terbabit dari arah Pinang Tunggal menuju ke Ekor Kucing manakala kereta Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

“Pemandu kereta itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog