Friday 6 March 2015

Iklan Rekaan Kubur Warna Merah Jambu. Iklan Betul Atau Perli?


SEORANG pengguna Facebook menerima reaksi bercampur daripada pelbagai pihak apabila memuat naik gambar kubur berwarna merah jambu disertakan dengan status ‘iklan rekaan kubur’.



Bersama gambar kubur yang dihias indah itu disertakan keterangan berbunyi:

Tempahan Dibuka!
Luaran; warna ikut pilihan. Kalau nak mural Heri Poter pun boleh.
Dalaman; sistem audio mp3 bacaan Quran 24 jam dengan sumber tenaga solar. (Waktu malam guna bateri yg telah dicas pada siang hari). Bacaan Yasin automatik setiap malam Jumaat. Bacaan tahlil automatik pada 7 hari pertama setiap malam, tahlilan automatik pada hari ke 40, hari ke 100 dan pada tarikh ulangtahun kematian.
Optional: Speaker luar utk penziarah tumpang dengar.
Jimatkan duit anda. Tak perlu upah orang baca Quran dan tahlilan. Tak perlu buat kendhuri. Jom berebut tempah! satu inovasi bid’ah hasanah.


Status Facebook ini menjadi viral selepas disebarkan baik menerusi laman sosial mahu pun aplikasi mesej Whatsapp.

Ramai yang melihat sekali imbas rupa kubur tersebut melontarkan kecaman kerana ia dianggap keterlaluan.

Bagaimanapun, ada juga menyifatkan gambar kubur pink ini bukan saja-saja dimuatnaik oleh individu terlibat sebaliknya ada ‘agenda’ tersendiri.


Pemerhatian kami mendapati, status Facebook ini sebenarnya bersifat sarkastik dan bertujuan memerli perbuatan menghias kubur secara berlebihan.

Malangnya, harus diingat tidak semua memahami jenis sarcasm serupa ini malah ia boleh membawa kepada fitnah jika tak kena gaya.

Mungkin cara sebegini sesuai digunakan kepada khalayak yang memiliki ilmu tinggi tetapi jika tersilap sindir, dikhuatiri boleh menjejaskan akidah umat Islam itu sendiri.

Pada kami, lebih baik pengajaran ilmu disampaikan secara jelas dan tidak menyakiti hati sesiapa.. itu lebih baik daripada yang bersifat ejekan dan boleh menimbulkan salah faham.

Apa pun, di bawah kami siarkan hukum membuat binaan pada kubur sebagaimana diputuskan Majlis Fatwa Negeri Kedah pada 2010 iaitu:

i) Makruh hukumnya dibuat binaan di dalam atau di atas kubur yang tanah kubur itu dimiliki oleh orang yang membuat binaan tersebut. Manakala hukumnya harus jika membuat binaan yang bertujuan menyelamatkan kubur itu dari digali atau dikorek oleh binatang buas atau diruntuh oleh banjir atau seumpamanya.

ii) Haram hukumnya dibuat binaan di dalam atau di atas kubur apa jua jenis dan bentuk binaan yang kekal selepas hancur mayat dengan tiada apa-apa tujuan seperti yang tersebut di atas sekiranya kubur itu di dalam tanah yang disediakan untuk perkuburan atau yang diwakaf untuk perkuburan dan wajib dirobohkan kerana binaan kekal wujudnya selepas hancur mayat ia menghalang orang-orang Islam daripada menggunakan tempat perkuburan itu dengan tiada apa-apa sebab yang diluluskan oleh syarak dan meruntuhkan itu hendaklah dengan kebenaran kadi atau kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Kedah kerana dikhuatiri berlaku perbalahan, pergaduhan dan sebagainya. Batu-batu dan perkakas-perkakas binaan menjadi hak milik waris-warisnya dan dipulangkan kepada mereka. Jika tiada waris atau waris enggan mengambilnya maka menjadi hak kepada baitulmal.

Wallahua’alam.


sumber: Mynewshub.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog