Sunday 1 March 2015

Babi Sujud Di Depan Kuil Jadi Viral



BEIJING – Perayaan Tahun Baharu Cina yang akan berakhir dengan sambutan Chap Goh Mehminggu hadapan mencetuskan sensasi di China gara-gara foto seekor babi gemuk kelihatan bersujud di depan sebuah kuil Buddha, lapor media tempatan.

Kejadian berlaku di pekarangan kuil berkenaan di Wenzhou, wilayah Zhejiang pada Selasa lalu, malah ramai pelawat mengambil peluang memuat naik beberapa gambar dan video aksi selamba babi tersebut yang dianggarkan seberat 150 kilogram.


Paparan foto dan visual haiwan najis mughallazah itu tersebar pantas menerusi media sosial sekali gus mencetuskan perdebatan soal apakah sebenarnya dilakukan mamalia tersebut kerana tiada seorang pun berkesempatan tanya babi berkenaan.


Apa yang pasti, babi montel tersebut tampak bersujud dengan dua kaki depan dilipat, dan ia dikelilingi ramai pengunjung, dan kebetulan insiden berlaku ketika satu upacara ritual keagamaan Buddha sedang berlangsung di dalam kuil itu.

Uniknya ia dilaporkan dalam posisi bersujud selama beberapa jam dan hanya meninggalkan tempatnya bersujud setelah sekelompok sami keluar dari dalam kuil dan kemudian terus melantunkan beberapa kalimah daripada kitab suci Buddha.

Para pengguna media sosial WeiBo di China; seumpama Twitter, yakin babi itu sedang berziarah ibadah dan mencari berkat tahun baharu di kuil itu manakala ada mengesyaki haiwan itu cuma cari makan atau beristirahat setelah penat berjalan.

Bahkan ada pengguna WeiBo yang memberikan penjelasan secara ilmiah bagi mengulas peristiwa unik itu dengan mendakwa si babi mungkin menderita kurang vitamin E yang boleh melemahkan kemampuan berdiri dengan empat kakinya.

Setelah foto itu tersebar luas, akhirnya pemilik haiwan haram tersebut, Huang tampil memberi penjelasan bahawa babi montok itu hilang dari ladang ternakannya pada pagi 22 Februari pagi ketika ia sedang leka mencari makan.

Malangnya, dia yang tidak sedar kisah babi itu menjadi sensasi di laman internet dilaporkan sudah memotong haiwan tersebut untuk dimakan dan jika Huang tahu peliharaannya sudah menjadi bintang terkenal, pasti babi itu masih hidup.


“Saya sudah memelihara babi ini bertahun-tahun, tetapi belum pernah melihat hal semacam ini. Saya sepatutnya tidak memotongnya,” kata Huang yang sangat terkesima melihat foto-foto aksi bersahaja babinya itu yang tersebar viral menerusi internet.

Penternak itu malah mendakwa, tiada seekor pun babi ternakannya menghidap penyakit tetapi hairan, jika haiwan tersebut berasa takut, ia seharusnya tidak bersujud manja dan membiarkan orang di sekeliling melihatnya sedemikian rupa.

Bayangkanlah, jika babi tersebut masih hidup lagi, haiwan itu pasti terkenal dan dikunjungi ramai peminatnya dari seluruh China yang tentunya berebut-rebut mengambil gambar selfiedan autograf daripada binatang berkenaan. – Agensi








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog