Wednesday 26 November 2014

Polis Tembak Maut Kanak-Kanak Lelaki Main Pistol Tiruan

Polis merampas sepucuk pistol airsoft yang digunakan Tamir untuk menakutkan orang ramai di sebuah taman permainan.


CLEVELAND, Ohio – Seorang kanak-kanak lelaki ber­usia 12 tahun ditembak mati oleh polis selepas dia mengacukan sepucuk pistol tiruan di sebuah taman permainan di sini.
Kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Tamir Rice mati akibat kecederaan yang di­alaminya kelmarin, sehari selepas polis bertindak selepas menerima panggilan kecemasan mengenai seorang individu mengacukan pistol tiruan di sebuah taman permainan kanak-kanak.
Timbalan Ketua Polis tempatan, Ed Tomba berkata, seorang anggota polis melepaskan dua das tembakan ke arah kanak-kanak itu selepas dia masih memegang pistol tiruan berkenaan setelah diarahkan untuk mengangkat tangan.
“Dia menarik pistol itu ketika polis memintanya mengangkat kedua-dua tangan lalu menyebabkan seorang anggota polis melepaskan tembakan,” kata Tomba.
“Ketika kejadian, gegelung berwarna oren yang biasa terdapat pada muncung pistol tiruan telah dibuka, polis beranggapan senjata itu pistol sebenar,” tambahnya.
Dua anggota polis yang terlibat dalam insiden tembakan tersebut bagaimanapun di­arahkan bercuti berdasarkan prosedur standard polis.
Akhbar tempatan, The Cleveland Plain Dealer melaporkan dua anggota polis berkenaan masing-masing telah ber­khidmat selama setahun dan 10 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang peguam keluarga kanak-kanak itu, Timothy Kucharski berkata, Tamir pergi ke taman permainan itu bersama rakan-rakannya namun dia tidak mengetahui butiran terperinci kejadian itu.
“Saya tidak mahu membuat sebarang penilaian secara tergesa-gesa,” katanya.
Menurutnya, dia mahu ­menyoal beberapa saksi kejadian untuk mendapatkan lebih banyak petunjuk dan bukti. – AP
sumber:Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog