Thursday, 22 January 2015

Video Zamani Menyanyi Ketika Ditahan Jadi Viral, Polis Ditahan


HASIL siasatan awal, pihak polis telah berjaya mengenalpasti anggota polis yang terlibat merakam dan menyebarkan video bekas penyanyi kumpulan Slam, Zamani yang diminta menyanyi dalam keadaan bergari.


Ketua Polis Negeri Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan dalam satu kenyataan berkata, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Berikutan dakwaan penyebaran klip penyanyi Zamani semasa dalam tahanan polis baru-baru ini, pihak polis sangat memandang serius perbuatan tersebut,” kata kenyataan itu.

Menurut beliau, polis Selangor turut meneruskan siasatan untuk mengenalpasti pegawai dan anggota lain yang terlibat sama menyebarkan video berkenaan.


“Siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohd Shukri berkata, siasatan dalaman dari segi salahlaku dan pematuhan Standard Operating Procedure (SOP) juga sedang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) polis Kontinjen Selangor.

“Polis Selangor memberi jaminan bahawa siasatan yang telus akan dijalankan tanpa melindungi sesiapa dan tindakan dalaman mengikut peraturan tatatertib akan dikenakan terhadap anggota polis terlibat,” katanya.

Hari ini, di laman sosial Facebook tersebar klip video Zamani dalam keadaan tangannya bergari menyanyikan lagu popular kumpulan Slam sekitar tahun 90-an, Gerimis Mengundang.

Zamani dipercayai menyanyikan lagu itu selepas diarah anggota polis yang turut bertindak merakam nyanyiannya itu dengan telefon bimbit seterusnya memuatnaik video berkenaan ke laman sosial.


Peminat Slam, khususnya Zamani melenting dengan tindakan itu yang disifatkan sebagai mengaibkan penyanyi tersebut.

Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim, 43, ditahan bersama seorang wanita berusia 32 tahun yang turut positif dadah jenis Methaphitamine kira-kira jam 12.30 pagi, Rabu.

Dia ditahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 & Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

mynewshuby.my


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog