Tuesday, 23 September 2014

Keluarga Mangsa Mh17 Saman Kerajaan Ukraine


SEBAHAGIAN serpihan pesawat MH17 yang dirakam berdekatan Kampung Hrabove di Donetsk, timur Ukraine pada 9 September lalu.


BERLIN - Keluarga mangsa nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine merancang untuk mengemukakan saman terhadap kerajaan Ukraine dan Presiden negara itu kerana cuai dengan tidak menutup ruang udara di wilayah bergolak di negara berkenaan, kata seorang peguam semalam.

Elmar Giemulla yang merupakan seorang peguam dan profesor undang-undang penerbangan mewakili tiga keluarga dari Jerman bagi memfailkan saman di Mahkamah Eropah untuk Hak Asasi Manusia di Strasbourg, Jerman.

Giemulla dalam satu kenyataan memberitahu bahawa setiap negara bertanggungjawab dengan keselamatan ruang udara masing-masing.

"Dengan membuka ruang udara untuk penerbangan dari negara luar, negara itu mesti memastikan keselamatan penerbangan tersebut.

"Sekiranya mereka merasakan ia mustahil dilakukan (memastikan keselamatan), mereka mesti menutup ruang udara berkenaan," katanya.

Pesawat milik syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) itu meletup di udara dipercayai akibat ditembak oleh peluru berpandu darat ke udara pada 17 Julai lalu menyebabkan semua 298 penumpang dan anak kapal maut.

Seramai empat penumpang pesawat berkenaan adalah warga Jerman.

Laporan awal yang dikeluarkan oleh pasukan penyiasat dari Belanda dilihat menyokong dakwaan bahawa pesawat itu ditembak oleh peluru berpandu antipesawat.

Kata Giemulla, saman terhadap Kiev dan Presiden Ukraine, Petro Poroshenko atas kecuaian sehingga menyebabkan 298 kematian akan difailkan dalam tempoh dua minggu lagi dan menuntut pampasan sekurang-kurangnya AS$1.3 juta (RM4.2 juta) untuk setiap mangsa.

Tambahnya, tindakan undang-undang itu tidak diambil terhadap Rusia kerana bukti masih belum mencukupi tetapi tidak menolak akan turut menyaman Moscow kelak. - AFP

sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog