Monday, 9 February 2015

Raja Jordan Mahu Balas Dendam Musnahkan Militan ISIS Dengan Tangan Sendiri


AMMAN — Seumpama filem Independence Day, kematian tragis Leftenan Muath Safi Yousef al-Kasasbeh membuat Raja Jordan, Abdullah Hussein berasa amat murka dan berikrar akan segera membalas dendam ke atas militan ekstrem Daulah Islamiyah (IS).

Secara kebetulan seperti filem epik Hollywood pada 1996 itu, Raja Abdullah memang pernah menjadi juruterbang jet tempur tentera udara diraja Jordan (RJAF), malah akan memimpin sendiri serangan balas terhadap IS di Syria, lapor media tempatan.

Ia bahkan kebetulan menyerupai salah satu babak filem itu apabila Presiden Thomas Whitmore lakonan aktor Bill Pullman mengetuai skuadron tentera udara Amerika Syarikat (AS) menyerang kapal induk makhluk asing yang berlabuh di ruang angkasa bumi.


Muath Safi Yousef al-Kasasbeh

Perkara mengejutkan itu disahkan sendiri bekas jeneral tentera Jordan yang secara tidak sengaja berkata, Raja Abdullah, 53 tahun; bersiap siaga untuk memimpin serangan besar-besaran RJAF sebagai membalas kematian tragik allahyarham Muath, 26 tahun.

Mantan jeneral yang enggan dikenali itu berkata, Raja Abdullah secara serius memetik ungkapan popular yang diucapkan bintang Clint Eastwood dalam salah satu filemnya, Unforgiven pada 1992 ketika melakukan lawatan rasmi ke AS awal Februari lalu.

Raja Abdullah segera memendekkan lawatan tersebut setelah dimaklumkan Muath yang ditawan IS pada 24 Disember tahun lalu kemudian secara zalim dibakar hidup-hidup pada 3 Januari sebelum rakaman video kejadian itu disebarkan kepada umum.

Allahyarham Muath yang menyertai RJAF selepas tamat latihan di Kolej Udara Raja Hussein pada 2009 ialah juruterbang elit F-16 Skuadron No.1 di pangkalan udara Muwaffaq Salti dan berkahwin dengan jurutera Anwar al-Tarawneh pada 2014.

Seorang anggota Kongres AS dari California, Senator Duncan Lee Hunter memberitahu akhbar Washington Examiner yang melaporkan Raja Abdullah mengajuk ayat Eastwood: “Semua orang yang saya lihat di sana, saya akan bunuh mereka,”

“Setiap musuh yang menembak saya, saya tidak hanya akan menembak mereka, malah saya akan bunuh isterinya, teman-temannya dan membakar habis rumahnya,” ujar Hunter meniru gaya bersahaja titah Raja Abdullah ketika berada di Washington DC.

Kebetulan pula jelas Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera AS di Kongres itu, pada malam 3 Februari, baginda bertemu Presiden Barack Obama, beberapa jam setelah video pembunuhan Muath disebarkan menerusi laman internet ke seluruh dunia.

Selepas melakukan perbincangan, dua pemimpin itu bertekad memperluaskan strategi memerangi IS yang masih menguasai wilayah cukup luas di Iraq dan Syria serta kian menghampiri Arab Saudi bagi menghancurkan Kaabah, kiblat umat Islam di Makkah.

Obama berjanji, Washington DC akan meningkatkan bantuan tahunan kepada Amman sehingga AS$1 juta (RM3.6 juta) untuk menolong negara Arab itu memusnahkan IS yang semakin zalim membunuh ramai tawanan tidak berdosa. – Agensi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog