Monday 27 October 2014

Pelajar Patah Hati Tembak Mati Rakan-rakan Sekelas


WAJAH Fryberg yang dirakam pada satu majlis di Sekolah Tinggi Marysville-Pilchuck in Marysville, Washington pada 17 Oktober lalu. - Agensi


MARYSVILLE, Washington – Seorang pelajar menembak mati rakan sekelas dan mencederakan empat lagi yang lain dalam kejadian tembakan di kantin sebuah sekolah tinggi di sini kelmarin.

Suspek yang merupakan seorang pelajar popular di Sekolah Tinggi Marysville-Pilchuck kemudian bertindak membunuh diri.

Seorang pegawai pendidikan daerah yang enggan namanya disiarkan berkata, penembak itu yang dikenali sebagai Jaylen Fryberg merupakan seorang pelajar popular dalam kalangan pelajar dan merupakan anggota pasukan gusti dan bola sepak.

“Dia datang dari belakang, mengeluarkan pistol sebelum melepaskan lapan das tembakan. Tembakan itu ditujukan kepada rakan-rakannya, bukan secara rambang,” kata seorang pelajar, Jordan Luton kepada CNN.

Kata Luton, Fryberg selepas itu melepaskan beberapa lagi tembakan.

“Dia selepas itu berpaling dan melihat ke arah saya dan teman wanita saya sambil menyeringai dan kemudian berpaling semula sebelum melepaskan beberapa lagi tembakan,” katanya.

Polis pada masa kini belum mengesahkan identiti suspek serta motif tembakan tetapi pegawai pendidikan daerah dan beberapa saksi mendakwa dia sebelum itu terlibat dalam pergaduhan dengan pelajar lain.

Beberapa pelajar yang menge­nali Fryberg pula menggambarkan dia seorang yang normal dan tidak mempunyai personaliti yang menjurus kepada pembunuhan seperti itu.

“Dia sememangnya seorang yang normal dan dia mempunyai ramai rakan,” kata Gladis Jimenez, 15.

Bagaimanapun melalui status dalam akaun media sosial Twitter pada Selasa lalu, Fryberg memperlihatkan dia seakan-akan kecewa dan patah hati.

Sementara itu, menurut pihak hospital, tiga daripada mangsa cedera parah, seorang daripada mereka ialah Andrew Fryberg, 15, yang dipercayai sepupu kepada suspek ditembak di kepala, manakala Nate Hatch, 14, cedera di rahang. Mangsa keempat dilapor cuma cedera ringan.

Media melaporkan dia menggunakan senjata api jenis Be­retta .40. – Reuters


sumber:kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog