GAMBAR babi hutan sedang menjilat pinggan mangkuk yang dirakam di sebuah kedai makan terletak di Banjaran Titiwangsa kini viral di laman sosial.
Insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan masyarakat Islam memandangkan binatang berkenaan dikelaskan sebagai najis berat (mughallazah) yang perlu dijauhi.
Babi tersebut dipercayai keluar dari hutan berhampiran pada waktu malam sebelum mengunjungi gerai makan lalu menjilat sisa makanan pada pinggan mangkuk yang ditinggalkan terbiar di atas meja oleh peniaga.
Ini sekaligus menimbulkan persoalan perihal kesucian pinggan mangkuk tersebut yang sepatutnya disamak sebelum boleh digunakan umat Islam.
Meskipun pinggan mangkuk tersebut bakal dibasuh namun jika tidak disucikan dengan cara betul mengikut syariat, ianya tetap dianggap tercalit najis.
Pihak peniaga sepatutnya, lebih peka menjaga kebersihan agar perkara sebegini tidak berterusan kerana yang menerima akibatnya adalah pelanggan yang tidak tahu hujung pangkal.
Apatah lagi jika peniaga terbabit sendiri merupakan penganut Islam, silalah bersikap lebih bertanggung jawab selepas ini kerana soal hukum hakam jangan dibuat main!
mynewshub.my
No comments:
Post a Comment