Thursday, 29 January 2015

Ribut Salji Terburuk Dalam Sejarah Amerika Melanda New York.




New York: Ribut salji paling teruk dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) melanda timur laut negara itu, semalam, mengakibatkan darurat diisytiharkan di beberapa daerah selain gangguan terhadap pengangkutan awam dan ribuan penerbangan di kawasan itu.

Pihak berkuasa mengarahkan jalan raya dikosongkan di New York dan bandar lain seperti Boston sebagai persediaan menghadapi ribut itu yang dijangka membawa salji setebal sehingga tiga kaki di beberapa lokasi.

Datuk Bandar New York Bill de Blasio berkata ribut itu kemungkinan besar antara yang paling teruk dialami New York City.

“Ini memang keadaan darurat. Jangan pandang ringan kerana ribut ini bukan sesuatu yang biasa dan dijangka membawa banyak kerosakan,” katanya.

Lebih 1,700 penerbangan dibatalkan manakala orang ramai di Manhattan berpusu-pusu pulang awal dari tempat kerja untuk mengelak terperangkap dalam cuaca buruk.

Sistem pengangkutan New York ditutup pada jam 11 malam manakala 13 kawasan ditetapkan larangan keluar pada waktu malam melainkan untuk tujuan kecemasan. Terowong dan jambatan menghubungkan Manhattan dan New Jersey turut ditutup.

Jabatan kaji cuaca menjangkakan 28 juta orang berada dalam laluan ribut itu.

Gabenor New York Andrew Cuomo berkata, ribut itu tidak boleh dipandang ringan.

“Ada kemungkinan ia menjadi soal hidup mati. Kami bukannya sengaja memperbesarkan bencana ini jadi seeloknya kita semua berhati-hati,” katanya.

Menurutnya, Pengawal Kebangsaan turut berada dalam keadaan berjaga-jaga di New York dan Long Island. Larangan perjalanan dikuatkuasakan kawasan pada jam 11 malam dan sesiapa yang melanggarnya tanpa sebab munasabah berdepan hukuman denda.

Sementara itu, ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga ditutup awal seterusnya memaksa pembatalan acara bagi memperingati ulang tahun ke-70 Holocaust.

CNN menyiarkan rakaman keadaan di New York termasuk Times Square lengang.

Kali terakhir kereta api bawah tanah di kota itu ditutup pada 2012 sebagai persediaan terhadap Ribut Sandy yang mengakibatkan 200 maut selain menyebabkan gangguan elektrik selama beberapa bulan.-Hmetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog