ROZITA CHE WAN DAN ZAIN SAIDIN BERGELAR SUAMI ISTERI
SHAH ALAM: Dengan sekali lafaz, pelakon Zain Saidin, 29, kini sah
menjadi suami kepada aktres Rozita Che Wan, 40, di Gazebo Setia City
Convention Centre, di sini.
Majlis berlangsung kira-kira pukul 9.10 malam Rabu.
Pasangan itu dinikahkan oleh Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor, Ustaz Alwi Parman.
Rozita diwalikan oleh adiknya, iaitu Roshidi Che Wan.
Pelakon itu menerima sembilan dulang hantaran yang diisi di dalam peti
termasuk mas kahwin berjumlah RM9,300, sebentuk cincin bernilai RM93,000
dan wang hantaran sebanyak RM23,000.
Hantaran yang dibawa turut mengandungi telekung dan sejadah, set minyak
wangi, beg tangan, sepersalinan kain, kasut, sirih junjung, telefon
bimbit dan cincin.
Manakala pihak lelaki pula menerima sebanyak sembilan peti hantaran
berupa baju Melayu, kemeja-T, kasut, beg dan tali pinggang, sirih
junjung, set minyak wangi, gelang tangan dan jam serta cincin.
Pada majlis tersebut, Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin
yang memakai baju Melayu warna krim masuk ke dewan lebih awal dan
diikuti oleh Rozita kira-kira pukul 8.30 malam.
Rozita menggayakan kebaya moden berwarna sama rekaan Man Kajang.
Wanita itu kemudian disarungkan cincin pertunangan oleh ibu Zain iaitu Siti Aishah Abdullah sebelum majlis akad nikah bermula.
Pada majlis itu Rozita turut menggayakan barangan kemas pertama delima
terdiri daripada tiara berlian, dua bentuk cincin, sepasang
anting-anting labuh, rantai leher dan dua pasang rantai tangan bernilai
RM6.5 juta tajaan Habib Jewels.
Sementara itu Zain berkata, dia gembira akhirnya dia menjadi suami
kepada Rozita dan berharap agar perkahwinan mereka akan mekar sehingga
ke akhir hayat.
"Selama ini kami susah senang bersama. Walaupun masing-masing sibuk dengan karier, Alhamdulillah, kami akhirnya disatukan juga.
"Harap-harap tiada lagi gosip berkaitan dengan kami selepas ini," selorohnya.
Seramai 200 tetamu termasuklah keluarga dan rakan media menghadiri majlis akad nikah bertemakan ala taman itu.
Antara selebriti yang hadir ialah Tasha Shilla, Nur Fathia, Ayu Raudhah,
Mazlan (Pet Pet), kakak Zain iaitu Sasha Saidin, Micheal Ang dan Azza
(Elite).
Majlis persandingan kedua-dua mempelai akan diadakan pada Jumaat ini di
Grand Ballroom, Pusat Konvensyen Setia City pada pukul 8 malam.
Sementara itu, Astro Ria menerusi saluran 104 merupakan penyiar rasmi
bagi majlis akad nikah dan persandingan kedua-dua pengantin itu.
Rozita yang merupakan seorang janda mempunyai dua orang anak iaitu Aniq
Ezzra, 15, dan Ammar Effendy, 17, hasil perkahwinan terdahulu dengan
Azuar Effendy Zulkafly, 41, pada 26 Ogos 1995.
Pasangan itu bercerai pada 8 Mei 2003.
No comments:
Post a Comment