Friday, 29 August 2014

ISIL bukan pejuang agama Islam yang sebenar


SHAH ALAM - Perjuangan dibawa Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria  (ISIL) tidak mencerminkan perjuangan sebenar Islam.

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, segala tindakan mereka (ISIL) bertentangan dengan Islam, malah  para ulama di Timur Tengah yang lebih memahami situasi di sana juga tidak bersetuju dan menegaskan apa yang dilakukan bukan cara Islam.

"Berdasarkan gambar, video dan maklumat yang didedahkan, tindakan mereka menyembelih manusia dan memperkosa wanita dari agama lain adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam.

"Malah mereka juga dikatakan mempunyai hubungan dengan Zionis serta Amerika Syarikat. Keadaan itu menunjukkan ISIL ini sebenarnya bertujuan merosakkan imej Islam dan dijadikan alasan untuk menyerang Islam," katanya.

Ketika mengulas bagaimana masyarakat Islam yang hendak memperjuangkan agama tanpa dilabel sebagai pengganas, Zaharuddin berkata, setiap perjuangan atau tindakan yang hendak dilakukan perlu selari dengan Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardawi.

"Bagi memastikan perjuangan atau kumpulan yang hendak disertai atau disokong itu adalah kumpulan yang betul-betul memperjuangkan Islam, mereka boleh rujuk kesatuan terbabit bagi mendapatkan panduan serta kefahaman sebenar. Jangan berpandukan kefahaman sendiri.

"Selain itu, masyarakat Islam juga perlu ada media sendiri supaya dapat beri penjelasan serta penerangan berterusan kepada media bukan Islam," katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh dalam isu Palestin, media Israel memutarbelitkan fakta bagi menyembunyikan kezaliman dilakukan, tetapi penipuan itu didedahkan oleh rakyat Palestin melalui media mereka sendiri termasuk di Facebook.

Katanya, masyarakat Islam Malaysia juga perlu bijak untuk membezakan antara perjuangan jihad dengan perjuangan pengganas.

"Semak dan buat kajian terhadap latar belakang sesuatu kumpulan sebelum terus menyertai atau menyokong kumpulan tersebut," katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog