Tuesday 2 September 2014

Baju Pengantin Puteri Diana dipulangkan kembali ke William dan Harry



LONDON - Sehelai gaun putih yang dipakai mendiang Puteri Diana ketika majlis perkahwinan dengan bekas suaminya yang juga pewaris pertama takhta diraja Britain, Putera Charles bakal dipulangkan semula kepada dua anak mendiang, lapor MailOnline kelmarin.
Gaun yang dihiasi beribu-ribu berlian tersebut dianggap sebagai pakaian pengantin paling terkenal di dunia dan telah dipamerkan di seluruh dunia.
Pakaian tersebut yang kini dimiliki oleh adik Diana, Earl Spencer bakal dipulangkan semula bersama beberapa barangan lain kepada dua anak lelaki mendiang iaitu Putera William dan Putera Harry.
Difahamkan, pakaian tersebut bersama beberapa barangan lain milik Diana dijaga oleh Spencer dan beliau mesti memulangkan barangan berkenaan kepada dua putera berkenaan apabila kedua-dua mereka berusia 30 tahun.
William kini berusia 32 tahun, manakala Harry pula akan berusia 30 tahun pada 15 September ini.
Pakaian pengantin tersebut direka oleh dua beradik, David dan Elizabeth Emanuel untuk majlis perkahwinan Diana dan Charles pada 29 Julai 1981.
Pasangan berkenaan kemudiannya disahkan bercerai pada 28 Ogos 1996.
Diana meninggal dunia dalam satu nahas jalan raya di Paris pada tahun 1997. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog