Tuesday 22 July 2014

"Kita tidak bersendirian", - Najib Razak

Foto
Kuala Lumpur: “Walaupun Malaysia sedang berkabung sebagai sebuah negara, kita tidak bersendirian,” kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, Malaysia amat menghargai sokongan pemimpin-pemimpin dunia pada waktu yang sukar ini sejak nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di Ukraine, Khamis lalu.
Sehubungan itu, beliau mahu rakyat negara ini terus kekal tabah dan bersatu dalam menghadapi krisis berkenaan dan terus berdoa agar Malaysia dijauhkan dari malapetaka.
“Ramai pemimpin-pemimpin dunia meluahkan simpati dan menghulur tangan persahabatan kepada kita, malah ketika krisis bermula saya bercakap dengan Presiden Ukraine Petro Poroshenko yang mendesak siasatan menyeluruh ke atas tragedi MH17 dijalankan segera.
“Saya juga menekankan kepada Presiden Russia Vladimir Putin akan kepentingan pasukan penyiasat antarabangsa untuk diberi kebenaran ke lokasi kejadian dan beliau menegaskan akan menggunakan pengaruhnya untuk membenarkan pasukan penyiasat memulakan kerja-kerja mereka.
“Beliau juga berharap Presiden Ukraine akan bersetuju kepada satu tempoh genjatan senjata sementara,” kata beliau melalui catatan terbaru laman Facebook peribadinya semalam.
Pesawat MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah di wilayah Donetsk di timur Ukraine, ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas dari Amsterdam pada jam 12.15 tengah hari waktu Belanda Khamis dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.10 pagi waktu Malaysia hari berikutnya.

Selain itu Najib berkata, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama turut menelefonnya untuk menyampaikan takziah dan mereka bersetuju bahawa sebuah pasukan antarabangsa harus dibenarkan memasuki lokasi kejadian dan tiada siapa patut mengganggu sebarang bukti termasuk kotak hitam pesawat.

Beliau berkata, Obama menawarkan bantuan segera untuk penubuhan pasukan penyiasat antarabangsa dan mengulangi pendirian beliau terhadap hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, Presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Eugène-Richard Gasana turut mendesak penyiasatan penuh dan bebas berdasarkan undang-undang penerbangan sivil antarabangsa.

“Majlis Keselamatan juga menekankan kepada pihak terbabit agar membenarkan pasukan penyiasat memasuki lokasi kejadian untuk mengenal pasti punca tragedi ini,” katanya.
Sementara itu Najib berkata sudah menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Australia Tony Abbott atas kehilangan rakyat negara itu dalam tragedi MH17.

sumber METRO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog