Monday, 29 September 2014
Ibu Dan Janin Berkecai Dilanggar Keretapi
Alor Setar: Seorang wanita yang sarat mengandung ditemui meninggal dunia dalam keadaan mengerikan dengan anggota badannya terpisah, begitu juga janinnya, akibat dilanggar kereta api dalam kejadian berhampiran Kampung Kuala Alor, Alor Merah di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa, Ku Nurul Shuhada Ku Rosli, 28, yang sarat mengandung tujuh bulan ditemui dalam keadaan anggota badan terpisah pada jarak kira-kira 50 meter manakala janinnya, daripada bahagian pinggang ke bawah, dijumpai di tepi landasan kereta api oleh penduduk kampung.
Penduduk kemudiannya memaklumkan kejadian kepada polis.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 bulan dilihat berjalan di sekitar kampung berkenaan sambil menegur beberapa penduduk.
Tanpa disedari, Ku Nurul Shuhada masuk ke kawasan landasan kereta api yang berpagar itu.
Suami mangsa yang mahu dikenali sebagai Saiful, 43, berkata, Ku Nurul Shuhada memaklumkan mahu ke kedai yang terletak berhampiran kediaman mereka.
“Bagaimanapun, saya tidak sedap hati apabila isteri masih tidak pulang selepas 30 minit sedangkan kebiasaannya, ia hanya mengambil masa kira-kira 10 minit.
“Saya bersama bapa mentua, Ku Rosli Ku Hassan yang berusia 50-an, dengan bantuan penduduk kemudian keluar mencari Ku Nurul Shuhada di sekitar kawasan kampung tetapi gagal sebelum pulang ke rumah jam 10 pagi,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Alor Setar.
Menurut Saiful, tidak lama kemudian, penduduk kampung memaklumkan ada kejadian membabitkan orang dilanggar kereta api di belakang kampung, lalu dia pergi ke sana untuk mengetahui siapa mangsanya.
“Apabila melihat baju serta serangkai kunci kereta, saya terus sebak kerana tahu ia adalah mayat isteri kerana saya memang mencari kunci kereta dan arwah pula membawanya bersama.
“Isteri saya mengalami kemurungan sejak beberapa bulan lalu. Kami sudah melakukan pelbagai ikhtiar termasuk mengubatinya secara tradisional. Keadaannya berubah agak baik tetapi kembali teruk seperti sejak seminggu kebelakangan ini,” katanya.
Ku Rosli pula berkata, dia puas mencari anak sulung daripada lima beradik berkenaan selepas Ku Nurul Shuhada keluar dari rumah.
“Dia (Ku Nurul Shuhada) keluar rumah (ke kedai) dan lambat balik lalu saya keluar cari melilau (merata-rata) sampai ke hospital tapi dia tiada. Apabila balik rumah, orang beritahu ada kemalangan di landasan kereta api, saya tak sangka dia boleh ditimpa kejadian itu.
“Arwah salam saya dan salam serta cium ibunya juga sambil minta maaf kelmarin. Saya kata, dari dia beranak (lahir) sehingga la ni (sekarang), sudah maafkan dia (Ku Nurul Shuhada), selepas itu dia hanya gelak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan ketika mengesahkan perkara terbabit berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dipercayai digilis kereta api barang yang dalam perjalanan dari arah Bukit Kayu Hitam menuju ke Pulau Pinang.
“Kami menerima laporan berkaitan kejadian jam 10 pagi sebelum sepasukan anggota dihantar untuk melakukan siasatan di tempat kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment