SEOUL - Penemuan satu mayat pada jarak agak jauh dari feri karam Korea Selatan, Sewol mencetuskan kebimbangan kemungkinan ramai mangsa yang masih hilang tidak akan dapat ditemui lagi.
Lebih dua minggu selepas feri seberat 6,825 tan itu terbalik dan karam, seramai 213 orang telah disahkan mati tetapi masih terdapat 89 lagi mangsa yang belum ditemui.
Perkembangan itu menimbulkan perasaan marah dan kecewa dalam kalangan ramai waris mangsa feri karam Sewol.
Kelmarin, sebuah bot nelayan mengangkat satu mayat dari permukaan laut pada jarak dua kilometer dari lokasi penemuan utama mangsa feri karam tersebut dekat Pulau Jindo, selatan Korea Selatan.
"Penemuan ini meningkatkan kesedaran kami bahawa kami perlu memastikan mayat-mayat mangsa hilang," kata jurucakap Kementerian Lautan dan Perikanan, Park Seung-Ki.
Namun, adalah sukar untuk pihak berkuasa menghalang perkara tersebut daripada berlaku kerana sehingga kini masih terdapat 22 daripada 66 kabin penumpang feri tersebut yang belum diperiksa penyelam-penyelam.
Feri Sewol terbalik pada 16 April lalu bersama 476 orang dengan lebih 300 mangsa merupakan pelajar dan guru sebuah sekolah tinggi di Ansan, selatan bandar raya ini.
Kapten kapal itu, Lee Joon-Seok ditahan selepas kejadian itu atas dakwaan melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian.
Perdana Menteri, Chung Hong-won turut mengumumkan peletakan jawatan pada Ahad lalu ekoran cara kerajaannya mengendalikan kejadian itu sehingga mencetuskan kemarahan waris keluarga feri tersebut. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz30ZMBUDtH
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment