Monday, 23 December 2013

Perginya Basri bersama alunan Subuh

                           Perginya Basri diiringi azan Subuh
BESERI - Mohd Basri Basharudin, 19, yang kehilangan tempurung kepalanya akibat kemalangan kira-kira tiga tahun lalu akhirnya kembali ke rahmatullah bersama alunan azan Subuh, kira-kira jam 6 pagi, semalam.

Dia yang telah menjalani pembedahan memasang tempurung kepala tiruan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 16 Jun lalu disahkan meninggal dunia di kediamannya dekat Kampung Darat, di sini.

Bapanya, Basharudin Bakar, 46, berkata, pemergian anak ketiga daripada empat beradik itu berlalu dalam keadaan dan suasana yang penuh tenang.

“Waktu itu saya nak bangun Solat subuh. Saya pergi jenguk keadaan dia di ruang tamu. Tiba-tiba saya terkejut melihat dia sedang nazak.

“Saya pun lari ke bilik kejutkan isteri memaklumkan perkara itu. Selepas diperiksa denyutan nadi dan hembusan nafas pada hidung, memang dia sudah tidak bernyawa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Basharudin berkata, anaknya itu menghembuskan nafas terakhir ketika laungan Allahuakbar pada kali kedua.

Jenazah Mohd Basri kemudiannya disembahyangkan di Masjid Al-Ihsan, Kampung Darat, kira-kira jam 1.45 petang, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam wakaf dekat Kampung Pokok Getah, di sini.

Basharudin berkata, sejak kebelakangan ini, anaknya itu kerap mengalami batuk.

Beliau juga tidak dapat menahan kesedihan mengenang anaknya itu.

“Selalu bila saya balik rumah saja, saya akan nampak dia terbaring atas katil di ruang tamu. Sekarang sudah tiada lagi kelibat wajahnya dan ini amat menyedihkan saya.

“Tiga tahun saya menjaga dia dalam keadaan yang seperti itu. Tiba-tiba dia sudah pergi buat selamanya,” katanya.

Basharudin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan orang perseorangan yang telah sudi membantu anaknya itu dari segi sumbangan dan segalanya untuk tujuan pembedahan memasang tempurung kepala tiruan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog