Thursday 8 January 2015

Kumpulan IS Dedah Gambar Pembunuhan 8 Polis




BAGHDAD 6 Jan. – Kumpulan militan, Negara Islam (IS) mendedahkan beberapa gambar daripada rakaman video yang menunjukkan lapan orang anggota polis Iraq dihukum bunuh berikutan dakwaan merisik dan memberikan maklumat tentang IS kepada kerajaan Iraq.


Gambar-gambar yang bertajuk ‘Hari Pengadilan’ itu menunjukkan semua lapan tahanan memakai pakaian ‘jumpsuit’ berwarna jingga di hadapan anggota militan.

Menurut laman web, Mail Online semalam, beberapa tahanan turut diwawancara untuk rakaman video tersebut.

Seorang daripada mangsa, Kapten Hossam Salah Bnosh dilaporkan menyamar untuk menyertai IS dan merisik tentang kumpulan militan itu untuk kerajaan Iraq.

Pasukan polis itu turut mendedahkan maklumat risikan dan kedudukan IS kepada kerajaan Iraq serta pasukan tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat.

Seorang tahanan, Ahmad Basil Ramadan didakwa memberi maklumat tentang lokasi rumah-rumah anggota IS, manakala Marwan Habib Said yang dilapor menyertai kumpulan terbabit ditangkap ketika sedang memberikan maklumat kepada kerajaan Iraq.

Berdasarkan gambar tersebut, sepasukan polis itu dipercayai dibawa ke bawah jambatan berhampiran sebuah sungai sebelum ditembak di bahagian kepala.

Pembunuhan itu dijalankan beberapa minggu selepas gambar hukuman mati 13 orang tahanan di wilayah Salahuddin dipaparkan di media sosial.

Mereka dihukum bunuh atas kesalahan pengkhianatan dan murtad, menurut mahkamah IS. -Utusan Online


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog