Friday 1 August 2014

Semuanya tinggal kenangan

Foto
“Beberapa hari sebelum kemalangan, ibu kelihatan gembira kerana langsir yang baru ditempahnya sudah siap. Namun, arwah hanya sempat mencuba memasang langsir itu pada tingkap rumah kami.
“Memang ibu kelihatan sangat teruja dan tidak sabar memasang langsir kerana mahu mencantikkan rumah sempena hari raya ini, tapi tidak sangka pula dia akan pergi sekelip mata dan lebih menyedihkan ibu pergi bersama ayah beberapa hari sebelum Aidilfitri,” kata Erin Natasha Mohamad Ujang, 14.
Erin Natasha adalah anak sulung pasangan Mohamad Ujang Jantan, 42, dan Jamilah Iswan, 36, yang maut selepas motosikal dinaiki mereka untuk ke tempat kerja bertembung Perodua Viva di Jalan Bukit Cerakah, dekat Puncak Alam, di sini, 17 Julai lalu.
Mohamad Ujang dan Jamilah meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu ketika pasangan terbabit mahu ke tempat kerja masing-masing di Bukit Jelutong dan Padang Jawa, Shah Alam.

Pemergian sekali gus ibu dan ayahnya itu menyebabkan Erin Natasha bersama dua lagi adiknya Farah Adriana, 12, dan Danesh Rifqi, 7, menjadi yatim-piatu sekelip mata dan dirundung kesedihan ketika umat Islam lain sedang gembira menyambut Aidilfitri.
Dia yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, sambutan Aidilfitri kali ini tidak bermakna kerana mereka kini tidak dapat memohon maaf dan mencium tangan ibu dan ayahnya pada pagi raya.
“Sememangnya persiapan raya tahun ini dilakukan ala kadar saja memandangkan kami baru kehilangan datuk Iswan @ Riduan Sadri, 64, pada hari pertama berpuasa.
“Setiap kali tiba Aidilfitri, kami sekeluarga akan bersama-sama ke Jalan Taiping, Klang untuk membeli persiapan raya seperti baju baru dan kuih yang dijual di situ.

Tetapi kini, semuanya hanya tinggal kenangan yang pasti tiada gantinya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kerayong, Meru, di sini.
Ketika ditanya kenangan persiapan hari raya bersama arwah ibu bapanya, Erin Natasha berkata, ibunya antara orang paling sibuk menyiapkan segala kelengkapan.
“Ayah pula lebih tenang dan hanya membantu mengemas ruang tamu dan halaman rumah sementara kami tiga beradik akan membantu apa yang perlu.
“Sambutan hari raya puasa tahun ini tidak bermakna kerana tidak disambut bersama ibu dan ayah.

Segala persiapan hari raya juga masih tidak sempat dibuat kerana ayah dan ibu pergi mengejut,” katanya.

sumber METRO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog