Sunday 10 August 2014

Kanak-kanak tadika korban duit raya demi Gaza

Kangar: Walaupun usia mereka masih mentah, namun sekumpulan 80 murid Tadika Madani Al-Ikhsan, di sini, tekad untuk mendermakan sebahagian daripada duit raya yang diterima ketika sambutan Aidilfitri lalu kepada tabung bantuan kemanusiaan bagi menolong rakyat Palestin.
Ini berikutan mereka yang berusia antara empat dan enam tahun turut merasai kesedihan dan kesengsaraan yang menimpa penduduk di Gaza apabila menjadi mangsa kerakusan serta kezaliman tentera Zionis.
Seorang murid Irlya Darwis, 6, berkata dia rasa bersimpati dengan keadaan yang berlaku di Gaza sekali gus berniat untuk mendermakan sebahagian daripada kutipan duit raya untuk tabung bantuan berkenaan selepas menonton paparan berita mengenai nasib rakyat Palestin terbabit.
“Selepas melihat siaran berita televisyen mengenai kejadian yang berlaku Palestin, saya berasa amat sedih dengan nasib menimpa penduduk terutama kanak-kanak, sedangkan kanak-kanak di sini boleh berseronok, tetapi di sana (Gaza) mereka menderita.
“Kanak-kanak Palestin terpaksa berlari disebabkan hendak selamatkan diri daripada serangan tentera.
Mungkin saya tidak tahu apa yang boleh dilakukan kerana masih kecil, kecuali hanya mampu derma sedikit daripada duit raya yang diterima untuk membantu mereka,” katanya.
Irlya berkata demikian ketika ditemui selepas pengusaha Tadika Madani Al-Ikhsan, Bizarliza Baharom menyerahkn kutipan derma berjumlah hampir RM2,000 kepada wakil Aman Palestin Perlis, Hasnul Rizal Hassan, di sini, kelmarin.
Bizarliza berkata, pihaknya mewujudkan tabung sumbangan Gaza dalam kalangan murid, ibu bapa serta kakitangan tadika berkenaan pada Isnin lalu sebaik sesi persekolahan dibuka selepas cuti Aidilfitri dan tidak menyangka mendapat sambutan baik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

histats

ping

ping blog