Friday, 2 May 2014
Penunggang motorsikal maut dilanggar kereta api
KOTA BHARU - Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera parah selepas dilanggar kereta api ketika melintas landasan di Kampung Baru Pahi, Kuala Krai, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, mangsa yang maut Mohamad Aiman Mat Husin, 17, dan mangsa yang cedera parah Che Nik Che Awang, 55, dikatakan ingin melintas landasan kereta api itu dari arah Ladang Lepan Kabu ke Kampung Baru Pahi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Ab Rahim Che Ghani berkata, mangsa dilanggar kereta api itu yang datang dari Kuala Lipis, Pahang menuju ke Tumpat.
Siasatan awal mendapati mangsa menggunakan jalan kecil di sebelah pagar landasan kereta api itu untuk melintas setelah laluan untuk pengguna jalan raya melintas ditutup bagi memberi laluan kepada kereta api itu, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata akibat pelanggaran itu kedua-dua mangsa tercampak ke tepi landasan kereta api berkenaan.
"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan namun Mohamad Aiman meninggal dunia di hospital itu pada pukul 5.05 petang," katanya. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment