Polis Honduras mengangkat mayat Maria yang ditanam di tebing sungai Santa Barbara selepas dibunuh kekasih kakaknya.
TIDAK sampai tiga hari lagi, Ratu Cantik Honduras, Maria Jose Alvarado sepatutnya berada di London untuk menyertai pertandingan Ratu Cantik Dunia bermula Sabtu ini namun, dia ditembak mati kekasih kakaknya sendiri, Plutarco Ruiz dipercayai bermotifkan cemburu.
Lebih tragis, akhbar La Prensa melaporkan, mayat gadis berusia 19 tahun itu ditemui tidak jauh daripada tempat mayat kakaknya, Sofia Trinidad, 23 tahun, yang dijumpai beberapa jam sebelum itu di tebing sungai Aguagual di bandar kecil, Arada semalam.
Dua mangsa dilaporkan hilang sejak enam hari lalu selepas dilihat kali terakhir menghadiri sebuah parti hari lahir dan ketua detektif polis, Leandro Osorio berkata, siasatan awal mendapati dua wanita itu dibunuh Plutarco dengan dibantu Aris Maldonado Mejia.
“Motif jenayah akibat perasaan cemburu Plutarco melihat Maria menari dengan seorang lelaki lain yang mungkin saingan kepada suspek dan siasatan menunjukkan Maria mati dibunuh semasa cuba lari selepas melihat kakaknya ditembak dulu,” kata Leandro.
Dua beradik itu menurut ibunya, Teresa Munoz dijemput menaiki kereta Plutarco yang datang dari ibu negara Honduras, Tegucigalpa, 200 kilometer dari rumah mereka di Santa Barbara untuk menghadiri majlis hari lahir suspek di sebuah resort tempatan.
Mayat dua beradik perempuan itu dijumpai 20 kilometer dari resort berkenaan hasil operasi mencari pasukan polis secara besar-besaran susulan ribuan penduduk Santa Barbara pada Selasa berarak mengadakan demonstrasi sambil memakai baju T dengan wajah Maria.
Mendiang dikenali di seluruh negara sebagai model untuk sebuah siri program permainan televisyen popular tempatan, X-0 dan pelajar tahun akhir pengajian sains komputer di Northern Polytechnic Institute itu menyertai pertandingan ratu cantik sejak usia muda.
Honduras, negara kecil berpenduduk lapan juta orang terletak di rantau Amerika Tengah bersempadan dengan Guatemala di utara dan Nicaragua di selatan merupakan negara paling tinggi kadar pembunuhan di dunia iaitu 90 kes bagi setiap 100,000 orang. – Agensi
mynewshub.my
No comments:
Post a Comment